Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU14 bukti rakyat adalah tuan, pemimpin sebagai pelayan

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mengajar semua pihak bahawa suara rakyat adalah suara keramat dan realitinya, rakyat sebenarnya adalah tuan, manakala pemimpin sebenarnya adalah sebagai pelayan.

Anggaran Waktu Membaca:
PRU14 bukti rakyat adalah tuan, pemimpin sebagai pelayan

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 16 May 2018 09:26AM Dikemas Kini : 16 May 2018 09:31AM

PEKAN: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mengajar semua pihak bahawa suara rakyat adalah suara keramat dan realitinya, rakyat sebenarnya adalah tuan, manakala pemimpin sebenarnya adalah sebagai pelayan.

Oleh itu, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata bahawa Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan wakil rakyat yang terpilih pada kali ini perlu menyantuni dan sentiasa mendengar suara rakyat.

“Sentiasalah berlaku adil dan jujur kepada rakyat, berkhidmat untuk memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat,” kata beliau di Istiadat Pergurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang dan Exco di Balairong Seri Istana Abu Bakar semalam (15 Mei).

Turut hadir di acara itu adalah Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah dan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Haji Ahmad Shah.

Memandangkan PRU14 sudahpun berlalu, Tengku Abdullah berharap kerajaan negeri dan semua pihak yang berkenaan dapat menumpukan kembali kepada soal membangunkan negara dan membela nasib rakyat di Malaysia.

“Rakyat telahpun bersuara, pepatah orang lama dahulu berpesan, biduk lalu kiambang bertaut, ini bukan masa kita mengimbau zaman silam sebaliknya saya berkehendakkan semua wakil rakyat di negeri ini tanpa mengira fahaman politik bekerjasama sebagai kumpulan untuk membela nasib rakyat di negeri ini.

“Begitu juga dengan rakyat sekalian…rapatkan kembali saf dan hentikan pertikaian. Jadikanlah perpaduan ummah sebagai agenda utama kita, saya juga ingin berpesan kepada kerajaan negeri untuk membina satu lembaran baru dalam bekerjasama dengan kerajaan pusat,” kata beliau.

Tengku Abdullah juga menggesa agar perbezaan ideologi politik tidak dijadikan sebagai batu penghalang kepada kemakmuran kerajaan negeri, jalinan hubungan dieratkan dan permuafakatan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat diberi perhatian khusus.

“Nasihat saya carilah titik persamaan terlebih dahulu dan selanjutnya sebarang perbezaan ditangani dengan secara bijaksana lagi berhemah. Hubungan baik antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri amat ditagih bagi memastikan kelancaran pembangunan negeri Pahang,” kata beliau.

Menyentuh tentang kelewatan pelantikan angkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang, Tengku Abdullah berkata bahawa sebagai Pemangku Raja Pahang, beliau tidak boleh melakukan pelantikan jawatan itu dan Exco sewenang-wenangnya.

“Tanggungjawab menteri besar dan Exco negeri adalah sangat besar dan ia menjadi amat penting dalam keadaan landskap politik negara pada ketika ini, oleh itu pemilihan mereka tidak boleh saya lakukan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira aspek kemakmuran dan kelangsungan pembangunan negeri,” kata beliau.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah juga merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh dan berharap Pahang juga mendapat perhatian sebagaimana negeri lain.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan