Images
  • hong kong airport
    Proses pendaftaran masuk bagi keberangkatan digantung di lapangan terbang Hong Kong (Gambar: Roland Lim/Mediacorp)

Proses daftar masuk lapangan terbang Hong Kong digantung akibat tunjuk perasaan

HONG KONG: Pihak berkuasa di lapangan terbang Hong Kong pada Selasa (13 Ogos) menggantung semua pendaftaran masuk bagi keberangkatan selepas para penunjuk perasaan pro-demokrasi menghalang kemudahan tersebut daripada beroperasi buat hari kedua. Namun beberapa penerbangan masih dibenarkan tiba dan berlepas.

"Operasi terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong mengalami gangguan serius akibat perhimpunan awam," menurut satu kenyataan pihak berkuasa lapangan terbang.

"Semua khidmat daftar masuk bagi pelepasan penerbangan digantung sejak 4.30 petang (0830 GMT). Penerbangan keluar dan masuk yang lain sepanjang hari akan terus beroperasi, dan syarikat penerbangan akan menyediakan aturan bagi para penumpang yang belum menyelesaikan proses keberangkatan," tambahnya.

"Orang ramai dinasihati supaya tidak datang ke lapangan terbang."

Pihak lapangan terbang turut menasihati para penumpang untuk meninggalkan bangunan terminal "secepat mungkin".

Pada Isnin, pihak berkuasa lapangan terbang Hong Kong menggantung penerbangan yang tiba dan berlepas dari lapangan terbang itu, akibat gangguan para penunjuk perasaan anti-pemerintah yang berhimpun di dewan ketibaan secara aman sejak Jumaat.

Operasi disambung pada awal Selasa pagi, namun tunggakan penerbangan yang dibatalkan menyebabkan banyak penerbangan berlepas ditangguhkan atau dibatalkan.

Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific menggesa penumpang menangguhkan perjalanan yang tidak penting pada Selasa dan Rabu.

Tunjuk-tunjuk perasaan mencetuskan huru-hara di Hong Kong selama 10 minggu, sedang ribuan penduduk membantah apa yang disifatkan sebagai penghakisan kebebasan dan autonomi di bawah pemerintahan China.

Awal daripada itu pada Selasa, Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam memberi amaran bahawa tunjuk perasaan yang ganas akan menjerumuskan Hong Kong kepada kehancuran.

- Agensi berita/TQ/tq

Top