Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRK Rantau: Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau bukti keupayaan diri

Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S. Streram, yang dinamakan semula sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau 30 Mac ini, berazam untuk membuktikan keupayaan diri dalam memberi kemenangan bermakna kepada PH, khususnya di peringkat negeri.

Anggaran Waktu Membaca:
PRK Rantau: Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau bukti keupayaan diri

Dr S. Streram. (Bernama)

Diterbitkan : 23 Mar 2019 09:33AM Dikemas Kini : 23 Mar 2019 09:38AM

SEREMBAN: Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S. Streram, yang dinamakan semula sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau 30 Mac ini, berazam untuk membuktikan keupayaan diri dalam memberi kemenangan bermakna kepada PH, khususnya di peringkat negeri.

Pakar bius berusia 60 tahun itu diberi peluang kedua sebagai calon PH, setelah sebelum ini dinafikan haknya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas selepas dihalang masuk ke pusat penamaan calon ekoran ketiadaan pas Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Ini peluang kedua saya dan saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk menang. Saya tidak mahu memandang rendah kepada lawan atau terlalu yakin untuk menang dalam PRK ini, tetapi perkara ini bukan yang seharusnya saya fikirkan sangat.

“Saya yakin akan menang tetapi keutamaan saya adalah untuk memberi tumpuan dalam meyakinkan pengundi DUN Rantau mengapa mereka perlu memilih saya,” katanya dalam satu wawancara bersama Bernama baru-baru ini.

Beliau berpendapat pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri yang diterajui PH merupakan antara faktor yang memberi kelebihan kepadanya untuk menang.

“Saya tidak rasa PRK ini memberi tekanan kepada saya berbanding PRU14 yang mana ketika itu sepatutnya saya bertemu dengan lawan saya iaitu seorang menteri besar (Encik Mohamad Hasan yang kini merupakan bekas menteri besar),” katanya.

Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Nov tahun lepas ditukil sebagai berkata Encik Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO akan dicalonkan semula bagi PRK DUN Rantau.

Menyedari DUN Rantau merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) selama ini, Dr Streram yang lebih gemar menggelarkan diri sebagai calon ‘underdog’ berkata corak kempen yang lebih agresif akan dilakukannya bagi memastikan kemenangan dicapai.

“Saya dan jentera PH akan berusaha keras menawan hati pengundi walaupun saya merupakan calon 'underdog'...setakat ini saya boleh katakan peluang adalah pada sekitar 50-50,” katanya, dan menambah, setakat ini pihaknya sudah merangka lebih 10 program setiap hari sepanjang kempen PRK berkenaan.

Menyifatkan persaingan PRK berkenaan sebagai sengit, Dr Streram berkata pelbagai strategi dirangka termasuk menggunakan pengalamannya sebagai pakar bius sepenuhnya bagi menambat hati pengundi.

“Saya berasal daripada keluarga miskin dan saya faham apa itu kesusahan. Jadi saya akan gunakan pengalaman saya sebagai doktor untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Rantau dan saya rayu pengundi untuk menilai dahulu perbezaan antara PH dan BN,” katanya.

Bagi PRK DUN Rantau, bapa tiga orang anak itu berkata, lima agenda yang akan diketengahkannya sebagai misi dan visi sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat adalah pembinaan lebih banyak rumah mampu milik; peluang pekerjaan; kemudahan kesihatan; mengurangkan kawasan banjir; serta ekonomi. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan