Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRK Kimanis: Lebih 50% sudah keluar mengundi

Sebanyak 50.37 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis menunaikan tanggungjawab mereka setakat 12 tengah hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
PRK Kimanis: Lebih 50% sudah keluar mengundi

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis akan berakhir pada jam 5 petang nanti. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Jan 2020 01:37PM Dikemas Kini : 18 Jan 2020 01:42PM

KIMANIS: Sebanyak 50.37 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis menunaikan tanggungjawab mereka setakat 12 tengah hari ini (18 Jan), empat jam setengah setelah kesemua 19 pusat mengundi dengan 68 saluran dibuka tepat pukul 7.30 pagi tadi.

Proses pengundian yang akan berlangsung sehingga 5.00 petang ini, melibatkan 29,619 daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daripada jumlah itu akan pergi mengundi hari ini.

Dua calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen itu, calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Karim Bujang dan Barisan Nasional (BN) Mohamad Alamin, masing-masing selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis dan SK Our Lady of Fatima (M) Kampung Kelatuan seawal 9.00 pagi tadi.

Sejak awal pagi, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun sudah meninjau perjalanan pilihan raya kecil itu di tiga pusat mengundi, di SK Belatik, Papar; SK Sumbiling; dan SK Viging Ulu di Bongawan.

Azhar ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat mengundi di SK Viging Ulu, berkata setakat ini proses pengundian PRK Parlimen Kimanis berjalan lancar tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

Tinjauan Bernama mendapati cuaca yang baik sepanjang pagi tadi, menyaksikan ramai pengundi mengambil peluang menunaikan tanggungjawab masing-masing, namun jumlah itu berkurangan pada sebelah tengah hari berikutan cuaca panas mencecah sehingga 27 darjah Selsius.

Pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan bagi PRK Parlimen Kimanis ialah di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort. SPR menjangkakan keputusan PRK itu dapat diumumkan sebelum 10.00 malam ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim, 67, dan Mohamad, 48 tahun. 

Sumber : Bernama/UR/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan