Images

Presiden Trump gesa AS bersatu dalam ucapan kepada Kongres

WASHINGTON: Semasa menyampaikan ucapan tahunannya kepada Kongres di Washington pada Selasa (5 Feb), Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menggesa satu era kerjasama baru bagi mengakhiri kebuntuan politik selama "berpuluh-puluh tahun" dan merealisasikan potensi Amerika.

"Kita boleh menjadikan masyarakat kita lebih selamat, mengeratkan lagi hubungan keluarga, menjadikan budaya lebih kaya dan kepercayaan lebih teguh, serta membantu golongan pertengahan menjadi lebih maju berbanding sebelum ini," kata Presiden Trump.

"Bagaimanapun, kita mesti menolak pegangan politik yang berdendam, suka menentang dan sebaliknya memanfaatkan potensi kerjasama, saling berkompromi dan melakukan yang terbaik bagi memberi manfaat kepada semua pihak. Dengan bekerjasama, kita boleh mengakhiri kebuntuan politik."

Semasa menyampaikan ucapannya, Presiden Trump juga mengkritik siasatan yang sedang dijalankan berhubung kemungkinan terdapat kaitan antara beliau dengan Rusia sambil berkata bahawa "siasatan berat sebelah yang tidak munasabah" itu hanya akan melembabkan pertumbuhan ekonomi Amerika.

Presiden Trump juga memberitahu rakyat Amerika bahawa kemasukan pendatang asing secara haram merupakan satu krisis negara yang perlu ditangani dengan segera. Presiden Trump berikrar akan membina sebuah tembok di sempadan negara itu sambil beliau mencuba mendapatkan dana bagi membiayai projek yang ditolak oleh parti Democrat.

Menyentuh tentang China pula, Presiden Trump memberitahu Kongres bahawa rundingan perdagangan yang sedang berlangsung antara Washington dengan China akan menamatkan "pencurian" perkerjaan dan kemewahan Amerika Syarikat.

Pada masa yang sama, beliau juga menggesa China supaya membuat perubahan 'struktur' yang meluas pada dasar-dasar perindustriannya. Namun menurut para penganalisis, China mungkin akan menentang saranan itu.

"Kita mahu menekankan kepada China bahawa selepas menyasarkan industri-industri kita selama bertahun-tahun dan mencuri hak intelektual kita, perbuatan mencuri pekerjaan dan kekayaan Amerika Syarikat sudahpun berakhir," kata Presiden Trump.

Sebarang perjanjian dengan Beijing "mesti merangkumi perubahan struktur yang kukuh bagi menamatkan amalan perdagangan yang tidak adil," tegas beliau.

- AFP/AI/ai

Top