Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Persatuan India M'sia, 5 yang lain didakwa bagi kes rusuhan kuil Selangor

Lagi enam lelaki, termasuk Presiden Persatuan India Malaysia, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini (24 Dis) atas pelbagai pertuduhan berhubung insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Persatuan India M'sia, 5 yang lain didakwa bagi kes rusuhan kuil Selangor

Polis Malaysia berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman Temple. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Dec 2018 11:18PM Dikemas Kini : 24 Dec 2018 11:22PM

PETALING JAYA: Lagi enam lelaki, termasuk Presiden Persatuan India Malaysia, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini (24 Dis) atas pelbagai pertuduhan berhubung insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor.

Sejauh ini, seramai 24 orang sudah didakwa berhubung insiden tersebut.

Encik M. Manimaran, 38 tahun, dan lima yang lain bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Beliau didakwa atas tiga pertuduhan iaitu menghalang tugas penjawat awam, merusuh dan menyebabkan kecederaan.

Mohammad Shahril Danniel Sajel, 22, Mohammad Saifullah Abdullah, 31, Muhammad Hasneezam Shah Samsudin, 29, Akmal Izzat Aziz, 24 dan Mohd Norul Ismawi Islahuddin, 40, masing-masing pula menghadapi satu pertuduhan iaitu berada dalam rusuhan dengan pelbagai senjata.

Mengikut pertuduhan pertama, Encik Manimaran - bersama mereka yang sudah dituduh dan masih bebas - didakwa menghalang tugas pegawai dan anggota polis mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 (S$3,290) atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau turut dituduh - bersama 50 lagi anggota kumpulan yang menyalahi undang-undang dan masih bebas - melakukan rusuhan dengan tujuan untuk menghalang laluan kenderaan kereta peronda polis untuk keluar dari kawasan kuil tersebut mengikut Seksyen 147 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Encik Manimaran juga didakwa bersama mereka yang dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Sulaiman Abdullah, 32, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

5 TERTUDUH DILENGKAPI SENJATA KETIKA INSIDEN

Sementara itu, Mohammad Shahril, Mohammad Saifullah, Muhammad Hasneezam, Akmal Izzat dan Mohd Norul Ismawi didakwa - bersama-sama 13 yang sudah dituduh serta beberapa yang masih bebas - atas pertuduhan berada dalam rusuhan. Semasa rusuhan itu, kesemuanya memiliki parang, kapak, pisau dan kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di kuil tersebut antara pukul 2.00 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 26 November lalu.

Mahkamah membenarkan Encik Manimaran diikat jamin RM18,000 (S$5,930) manakala Mohammad Shahril Danniel diikat jamin RM5,000 (S$1,650) dan empat yang lain diikat jamin masing-masing RM6,000 (S$1,980) dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan terhadap kesemua tertuduh untuk melaporkan diri ke balai polis berhampiran selama dua kali sebulan. Passport mereka juga diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Jan untuk sebutan semula kes. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan