Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Perancis rancang sekat kemasukan imam, pendakwah asing

Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata pada Selasa (18 Feb) beliau akan membanteras amalan negara asing menghantar imam dan pendakwah ke Perancis dalam usaha menangani apa yang disifatkannya sebagai risiko "pemikiran pemisah".

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Perancis rancang sekat kemasukan imam, pendakwah asing

Gambar fail Presiden Perancis Emmanuel Macron (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 19 Feb 2020 12:36PM Dikemas Kini : 19 Feb 2020 12:41PM

PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata pada Selasa (18 Feb) beliau akan membanteras amalan negara asing menghantar imam dan pendakwah ke Perancis dalam usaha menangani apa yang disifatkannya sebagai risiko "pemikiran pemisah".

Encik Macron setakat ini cuba menjauhi isu-isu berhubung masyarakat Islam di Perancis, iaitu yang terbesar di Eropah, sebaliknya menumpukan pada pembaharuan ekonomi.

Dalam campur tangan yang sudah dijangkakan kurang sebulan sebelum pilihan raya datuk bandar, Encik Macron berkata beliau akan secara bertahap-tahap menghentikan sistem melibatkan Algeria, Maghribi dan Turki menghantar imam ke Perancis untuk berkhutbah di masjid-masjid.

"Penghentian sistem Islam konsular ini adalah penting untuk membendung pengaruh asing dan memastikan semua orang menghormati undang-undang republik ini," kata Encik Macron semasa sidang media di bandar Mulhouse.

Beliau berkata 300 imam dihantar ke Perancis setiap tahun oleh negara-negara tersebut. Mereka yang tiba pada 2020 adalah kumpulan terakhir yang akan tiba dengan jumlah sebegitu besar.

Beliau berkata pemerintahnya sudah meminta badan yang mewakili masyarakat Islam di Perancis untuk mencari huraian melatih imam-imam setempat, memastikan mereka boleh berbahasa Perancis dan tidak menyebarkan pandangan melampau.

Encik Macron, yang kerap diserang pemimpin sayap kanan pelampau Marine Le Pen berhubung isu menyepadukan Muslim Perancis, juga menambah beliau akan menghentikan amalan pelajar Perancis diajar oleh guru-guru yang dibayar pemerintah asing.

Perancis mempunyai perjanjian dengan sembilan negara, termasuk Algeria, Maghribi, Tunisia dan Turki yang membenarkan pemerintah mereka menghantar guru-guru ke sekolah Perancis untuk mengajar bahasa kepada pelajar yang berasal dari negara-negara tesebut.

Encik Macron mendedahkan beliau sudah mencapai perjanjian untuk menghentikan sistem sedemikian dengan semua negara kecuali Turki.

"Saya tidak akan membenarkan mana-mana negara sekalipun menggalakkan pemikiran pemisah," kata Encik Macron. "Anda tidak boleh menggunakan undang-undang Turki di tanah Perancis. Ia tidak boleh berlaku."

Perancis mengalami serangan besar kumpulan-kumpulan militan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Serangan bom dan tembakan yang diselaraskan pada November 2015 di panggung Bataclan dan beberapa tapak sekitar Paris membunuh 130 orang - pertumpahan darah paling dahsyat di Perancis sejak Perang Dunia Kedua. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan