Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Mesir luluskan undang-undang sekat media sosial

Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengesahkan undang-undang yang memberi kuasa kepada pemerintah untuk mengawas pengguna media sosial di negara tersebut sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengetatkan lagi kawalan internet.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Mesir luluskan undang-undang sekat media sosial

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 02 Sep 2018 10:51PM Dikemas Kini : 02 Sep 2018 11:23PM

KAHERAH: Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengesahkan undang-undang yang memberi kuasa kepada pemerintah untuk mengawas pengguna media sosial di negara tersebut sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengetatkan lagi kawalan internet, menurut laporan media negara itu pada Sabtu (1 Sep).

Diluluskan oleh parlimen pada Julai, Majlis Tertinggi bagi Peraturan Media negara itu akan diberi kuasa untuk menyelia sesiapa yang mempunyai lebih 5,000 pengikut di media sosial, blog atau laman web peribadi.

Majlis tersebut akan diberi kuasa untuk menggantung atau menyekat mana-mana akaun peribadi yang "menerbitkan atau menyiarkan berita palsu atau apa-apa (maklumat) yang mencetuskan pencabulan undang-undang, keganasan atau kebencian".

Undang-undang baru itu adalah salah satu daripada langkah-langkah yang disifatkan oleh kumpulan hak asasi sebagai bertujuan membataskan kebebasan bersuara dalam talian. Internet adalah salah satu wadah terakhir untuk perdebatan awam mengenai pemerintahan Sisi.

Pada bulan Ogos, presiden meluluskan satu lagi undang-undang yang membenarkan pihak berkuasa, melalui seorang hakim, untuk memerintahkan sekatan ke atas laman web yang "mengancam" keselamatan atau ekonomi Mesir.

Mereka yang mentadbir atau melungsuri laman web sedemikian, secara sengaja mahupun "tanpa sebab yang munasabah", kini boleh dikenakan hukuman penjara dan didenda.

Pihak berkuasa menegaskan langkah-langkah sedemikian diperlukan untuk membantu mengatasi ketidakstabilan dan pengganasan di negara tersebut.

Meskipun begitu, pejuang hak asasi setempat dan antarabangsa kerap menuduh pemerintah cuba menutup mulut para pengkritik dengan pendapat berbeza dengan menangkap mereka dan penulis blog selain menyekat laman berita.

Lebih 500 laman web sudah disekat di Mesir sebelum undang-undang baru ini, menurut Persatuan Bebas Berfikir dan Bersuara (Association of Freedom of Thought and Expression) yang berpangkalan di Kaherah.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan