Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Jokowi rasmikan Sukan Asia ke-18; sekitar 13,000 atlit dijadual bertanding

Presiden Jokowi merasmikan Sukan Asia ke-18 dalam satu acara dua jam setengah yang penuh gilang gemilang.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Jokowi rasmikan Sukan Asia ke-18; sekitar 13,000 atlit dijadual bertanding

Pertunjukan di upacara perasmian Sukan Asia ke-18 (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Aug 2018 05:49PM Dikemas Kini : 19 Aug 2018 06:01PM

JAKARTA: Pertunjukan piroteknik gah serta simulasi letusan gunung berapi menyalakan latar langit Jakarta pada Sabtu malam (18 Ogos) sedang Indonesia membentangkan permaidani merah bagi menyambut ketibaan para atlit elit dari setiap pelusuk benua ini bagi upacara perasmian Sukan Asia ke-18.

Presiden negara itu Joko Widodo membuat penampilan lain daripada yang lain dan dramatik di Stadium Gelora Bung Karno, dengan menunggang motosikal menaiki pentas sebelum merasmikan pembukaan kali kedua Indonesia menjadi tuan rumah temasya itu.

"Kami berbangga, kami juga berbesar hati menyambut ketibaan tetamu istimewa dari 45 negara," kata Encik Widodo kepada 50,000 penonton di arena itu, yang merupakan arena sama Sukan Asia 1962 dirasmikan.

"Pada Sukan Asia ke-18 ini, negara-negara Asia, mahu menunjukkan bahawa kita bersaudara."

Para atlit Korea Utara dan Korea Selatan mencerminkan sentimen itu dengan berbaris bersama di bawah bendera yang memaparkan peta Semenanjung Korea.

Sorakan gemuruh menyambut kontinjen Palestin dan pasukan Kuwait yang dapat berbaris selepas larangan daripada gerakan Olimpik, yang dikuatkuasakan hampir tiga tahun lalu atas campur tangan pemerintah dalam sukan, ditarik balik pada Khamis.

Daya tarikan utama adalah model gergasi gunung berapi yang dikelilingi 3,600 penari dalam pelbagai kostum berwarna-warni, menghiburkan orang ramai yang hadir serta berjuta-juta penonton melalui kaca TV.

Kemuncak acara menampilkan mantan juara badminton Olimpik Susi Susanti membawa obor ke puncak 'gunung berapi' melancarkan pertunjukan bunga api yang sungguh menakjubkan.

Presiden Indonesia Joko Widodo di upacara perasmian Sukan Asia ke-18 (Gambar: AFP)

Kira-kira 9,000 anggota keselamatan dikerahkan di stadium yang sebelum ini menjadi pentas kemunculan bintang dan orang ternama seperti Pope John Paul II, Michael Jackson, Bon Jovi dan Guns N 'Roses serta pasukan Liga Perdana Inggeris seperti Chelsea, Liverpool dan Arsenal.

Keselamatan tetap menjadi keprihatinan utama di negara dengan penduduk Muslim paling ramai di dunia itu, yang menyaksikan serangan nekad didalangi ISIS di bandar Surabaya pada Mei lalu - serangan militan paling dahsyat dalam lebih 10 tahun.

Acara berwarna-warni selama dua jam setengah yang menggabungkan trend dan tradisi, turut bertafakur selama seminit bagi memperingati 460 mangsa yang terkorban akibat gempa bumi yang melanda Lombok bulan ini.

Seramai 13,000 atlit daripada 45 jawatankuasa Olimpik kebangsaan akan bersaing dalam 40 sukan dan 67 cabang sukan di temasya sukan terbesar di belakang Sukan Olimpik dengan acara baru seperti permainan 'bridge' dan 'roller skating' diperkenalkan.

Sukan elektronik juga buat penampilan sulung sebagai sukan demonstrasi rasmi di Indonesia, yang menawarkan diri sebagai tuan rumah bagi temasya tersebut setelah Vietnam menarik diri pada 2014 atas sebab-sebab kewangan.

Sukan Asia yang dijadual berakhir pada 2 September, adalah yang pertama dihoskan oleh dua buah bandar, dengan Palembang di pulau Sumatera menghoskan beberapa acara selain di ibu kota Jakarta.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan