Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Israel akan umumkan calon untuk bentuk pemerintah baru

Presiden Israel akan umumkan calon untuk bentuk pemerintah baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Israel akan umumkan calon untuk bentuk pemerintah baru

Presiden Israel Reuven Rivlin. (Gambar: REUTERS/Amir Cohen)

Diterbitkan : 06 Apr 2021 02:27PM Dikemas Kini : 06 Apr 2021 02:32PM

BAITULMAKDIS: Presiden Israel pada Selasa (6 Apr) merancang untuk mengumumkan seorang calon untuk cuba membentuk sebuah pemerintah setelah mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang kelihatannya mendapat sokongan ramai.

Sekalipun demikian, Presiden Reuven Rivlin, mempunyai budi bicara yang luas di bawah undang-undang untuk membuat pilihannya.

Pada Isnin (5 Apr) beliau berkata "pertimbangan menurut etika" mungkin memainkan peranan, yang dipercayai merujuk kepada kepada tiga kes rasuah ke atas Encik Netanyahu.

Pilihan raya Israel pada 23 Mac lalu, yang keempat diadakan dalam tempoh dua tahun, tidak berakhir dengan blok sayap kanan dan keagamaan yang dipimpin Encik Netanyahu mahupun kemungkinan satu perikatan pembangkang yang memenangi majoriti dalam parlimen.

Kebuntuan politik itu berlarutan selepas rundingan demi rudingan diadakan antara Encik Rivlin dengan para wakil semua parti yang memenangi kerusi dalam badan perundangan.

Seorang jurucakap Encik Rivlin berkata rundingan-rundingan itu sudah berakhir dan presiden akan membuat keputusan hari ini.

Encik Netahyahu menerima sokongan daripada 51 penggubal undang-undang dalam Knesset seramai 120 anggota.

Ahli politik haluan tengah dan mantan Menteri Kewangan Yair Lapid dari parti Yesh Atid menerima 45 sokongan dan mantan Menteri Pertahanan Naftali Bennett dari parti sayap kanan Yamina menerima tujuh.

Encik Netahyahu menggesa Encik Bennett dan seorang lagi bekas sekutu, Gideon Saar, yang mengasaskan parti sayap kanan New Horizon selepas meninggalkan parti konservatif perdana menteri, Likud, untuk menyertainya supaya dapat meleraikan kebuntuan itu.

Encik Bennett tidak memberikan sebarang komitmen tentang menyertai Encik Netanyahu, yang mempunyai hubungan tidak menentu dengannya

Encik Saar berkata beliau tidak akan berkhidmat di bawah Encik Netanyahu, atas alasan perbicaraan rasuah perdana menteri itu - yang dimulakan semalam. Namun beliau juga tidak memberikan sokongan kepada Encik Lapid.

Encik Netanyahu, yang menafikan pelibatannya dalam sebarang salah laku jenayah, menghadiri sebahagian sesi di mahkamah itu dan kemudian mengulangi tuduhan-tuduhan bahawa kes pihak pendakwa adalah "percubaan merampas kuasa" yang bertujuan menyingkirkan "perdana menteri sayap kanan yang kuat".

Siapa pun yang dipilih kelak mempunyai 28 hari untuk cuba menyatukan sebuah perikatan dan boleh meminta lanjutan tempoh dua minggu daripada Encik Rivlin.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan