Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Filipina Rodrigo Duterte dedah masalah kesihatan baru

Presiden Filipina Rodrigo Duterte mendedahkan beliau menghidapi penyakit autoimun yang mungkin boleh membawa kerumitan serius.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Filipina Rodrigo Duterte dedah masalah kesihatan baru

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 07 Oct 2019 08:46AM Dikemas Kini : 07 Oct 2019 08:48AM

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte mendedahkan beliau menghidapi penyakit autoimun yang mungkin boleh membawa kerumitan serius.

Encik Duterte, 74 tahun, merupakan presiden tertua dilantik di negara itu dan persoalan berhubung keadaan kesihatannya berlegar sejak beliau memegang jawatan pada 2016.

Beliau kadang-kala tidak hadir di acara dan mesyuarat, dan perbincangan beliau mengenai masalah kesihatannya menambah spekulasi.

Encik Duterte mendedahkah penyakit yang dialaminya iaitu myasthenia gravis dalam satu pertemuan dengan masyarakat Filipina di Rusia pada Sabtu (5 Okt).

"Salah satu daripada mata saya lebih kecil. Ia bergerak dengan sendirinya," kata Encik Duterte menurut transkrip yang dikeluarkan oleh pejabatnya pada Ahad.

"Itu adalah myasthenia gravis. Ia masalah fungsi saraf. Saya mewarisi penyakit ini daripada datuk saya," tambah Encik Duterte.

Menurut Institut-Institut Kesihatan Amerika Syarikat (NIH), keadaan itu menyebabkan kelemahan otot, boleh menyebabkan kelopak mata jatuh, penglihatan kabur serta kelemahan pada lengan dan kaki seseorang.

Penyakit itu lazimnya dapat dirawat namun, sehingga 20 peratus daripada orang-orang yang mempunyai penyakit itu mengalami sekurang-kurangnya satu 'krisis' yang memerlukan mereka menggunakan alat bantuan pernafasan, menurut NIH.

Encik Duterte tidak menunjukkan sama ada beliau pernah mengalami sebarang kejadian serius akibat penyakit itu.

Pentadbirannya tidak memberi banyak maklumat tentang keadaan kesihatannya dan sering mengatakan Presiden dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, Encik Duterte pernah membincangkan tentang penyakitnya dalam ucapan-ucapannya yang sering tidak menentu arah. Pada Oktober tahun lalu, beliau mengumumkan kepada orang ramai bahawa beliau sedang menantikan keputusan ujian penyakit barah.

Komennya itu menimbulkan kebimbangan dan spekulasi serta-merta namun beberapa hari kemudian beliau berkata keputusannya adalah negatif.

Encik Duterte sebelum ini juga berkata beliau mengalami migrain dan masalah kesihatan seperti penyakit Buerger, penyakit yang menjejas urat dan saluran darah lengan dan kaki dan ini lazimnya berlaku akibat tabiat merokok.

Encik Duterte berkata atas sebab masalah kesihatannya, beliau tidak dapat menghadiri acara-acara semasa sidang puncak di luar negara. 

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan