Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Premis makanan tanpa sijil halal dinasihati jangan perdaya pembeli

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menasihati pengusaha premis makanan di negeri itu yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) supaya jangan memperdaya dan mengelirukan pengguna terutama orang Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
Premis makanan tanpa sijil halal dinasihati jangan perdaya pembeli

(Gambar fail: Tengku Bahar/AFP)

Diterbitkan : 10 Jan 2019 10:13AM Dikemas Kini : 10 Jan 2019 10:18AM

KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menasihati pengusaha premis makanan di negeri itu yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) supaya jangan memperdaya dan mengelirukan pengguna terutama orang Islam.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Encik Azman Adam berkata, adalah satu kesalahan jika sesebuah premis dimiliki oleh orang bukan Islam yang tidak memiliki sijil berkenaan mempamerkan tulisan dan bacaan ayat al-Quran.

"Ini kerana dengan meletakkan tulisan al-Quran di premis mereka, ia boleh mengelirukan pengguna Islam yang akan beranggapan premis berkenaan mempunyai sijil halal.

"KPDNHEP Selangor memandang serius isu halal ini kerana pada tahun lalu sahaja kita menerima 22 aduan berkaitan status halal," kata Encik Azman selepas mengadakan pemeriksaan mengejut di beberapa premis makanan semalam (9 Jan).

Pemeriksaan selama tiga jam itu turut disertai oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Majlis Perbandaran Klang.

Encik Azman berkata SPHM tidak diwajibkan ke atas setiap premis makanan untuk beroperasi, tetapi ia akan menjadi kesalahan jika premis yang tidak mempunyai sijil halal untuk mempromosikan premis mereka sebagai 'halal'.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pemeriksaan mengejut tersebut, beliau berkata sebanyak empat premis makanan di sekitar Bukit Tinggi diperiksa.

Encik Azman berkata pemeriksaan itu diadakan bagi memastikan premis-premis makanan mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Dalam pemeriksaan hari ini tiga premis dikenakan tindakan atas kesalahan berkaitan kebersihan, halangan dan satu kesalahan di bawah SSM," katanya sambil menambah KPDNHEP akan terus mengadakan pemeriksaan seumpama itu secara berterusan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan