Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Portal khas bantu rakyat M'sia hilang pekerjaan di luar negara akan dilancarkan

Kementerian Sumber Manusia Malaysia akan mewujudkan sebuah portal khas untuk rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di luar negara, berikutan terjejas akibat pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Portal khas bantu rakyat M'sia hilang pekerjaan di luar negara akan dilancarkan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 08 Aug 2020 05:25PM Dikemas Kini : 08 Aug 2020 05:28PM

TAPAH: Kementerian Sumber Manusia Malaysia akan mewujudkan sebuah portal khas untuk rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di luar negara, berikutan terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menterinya Encik M. Saravanan berkata, ia perlu bagi memudahkan pihak kementerian mengetahui jumlah sebenar mereka yang telah kehilangan pekerjaan, dengan mendaftar di portal itu sebelum dibantu menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad.

“Butiran lanjut mengenai portal tersebut akan saya umumkan Isnin ini. Saya perlu mengetahui angka sebenar rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan, supaya kementerian dapat menawarkan pelbagai latihan kemahiran atau peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka.

“Ini adalah antara langkah-langkah yang kita lakukan untuk mengatasi masalah pengangguran, kerana kebanyakan mereka yang kehilangan pekerjaan ini, mempunyai komitmen yang cukup tinggi seperti pinjaman perumahan dan kereta, walaupun ia adalah isu peribadi, tetapi kerajaan amat prihatin dengan nasib yang menimpa mereka,” katanya.

Encik Saravanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Go Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Orang Asli di Dewan Merdeka di sini, hari ini.

Pada Rabu lepas Encik Saravanan berkata, kerajaan memberi jaminan membela nasib rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura, apabila syarikat di negara itu mula melakukan pembuangan pekerja akibat penularan COVID-19.

Beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Tenaga Manusia Singapura (MOM), bagi membincangkan jalan penyelesaian terhadap kira-kira 400,000 pekerja Malaysia di negara itu.

Dalam pada itu Encik Saravanan berkata, rakyat di negara itu diminta supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dan perlu merebut apa sahaja peluang pekerjaan, memandangkan ketika ini keadaan dunia yang berdepan dengan kelembapan ekonomi disebabkan COVID-19.

“Saya nasihatkan kepada mereka, terima sahajalah peluang kerja yang ditawarkan walaupun ada di antara mereka (golongan profesional), pernah menikmati gaji yang lumayan tetapi disebabkan keadaan (kelembapan ekonomi) pada hari ini luar biasa, lebih baik ada pekerjaan dengan gaji yang lebih rendah, daripada tidak ada kerja langsung.

“Dengan pelaksanaan pelbagai program dan kursus yang ditawarkan kerajaan, saya memberi jaminan keadaan akan pulih seperti sedia kala, tetapi ia akan mengambil masa sedikit,” katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan