Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pompeo kembali ke Korea Utara; pelucutan senjata nuklear semakin dipersoal

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo dijadual kembali ke Korea Utara Khamis ini (5 Jul) dalam rangka menyempurnakan perjanjian pelucutan senjata nuklear Korea Utara.

Anggaran Waktu Membaca:
Pompeo kembali ke Korea Utara; pelucutan senjata nuklear semakin dipersoal

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 03 Jul 2018 02:39PM Dikemas Kini : 03 Jul 2018 02:42PM

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo dijadual kembali ke Korea Utara Khamis ini (5 Jul) dalam rangka menyempurnakan perjanjian pelucutan senjata nuklear antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Kunjungan itu dibuat di tengah-tengah meningkatnya keraguan tentang kesungguhan Pyongyang untuk menghentikan program senjata nuklear negara itu.

Semasa mengumumkan lawatan tersebut, jurucakap Rumah Putih Sarah Sanders berkata bahawa Amerika Syarikat "terus membuat kemajuan" dalam rundingan bersama Korea Utara.

Beliau enggan mengesahkan mahu pun menyangkal laporan media baru-baru ini mengenai penilaian perisikan yang menyatakan Korea Utara sedang meningkatkan keupayaan senjatanya.

Selepas Pyongyang, Encik Pompeo akan menuju ke Tokyo untuk membincangkan program pelucutan senjata nuklear Korea Utara berasama para pemimpin Jepun dan Korea Selatan.

Lawatan Encik Pompeo ke Korea Utara itu merupakan yang pertama baginya sejak sidang puncak antara Presiden Donald Trump dan Kim Jong Un diadakan di Singapura pada 12 Jun. Di sidang puncak tersebut, pemimpin Korea Utara itu bersetuju untuk "berusaha menuju ke arah pelucutan program nuklear di Semenanjung Korea."

Meskipun begitu kenyataan bersama hasil sidang tersebut tidak memberi sebarang perincian mengenai bagaimana atau bila Pyongyang akan melucutkan senjatanya. Para pegawai Amerika Syarikat sehingga kini sedang berusaha melakarkan butir-butir lanjut bagi mencapai perjanjian yang bersesuaian dengan gambaran positif oleh Presiden Trump mengenai hasil sidang tersebut.

Menurut seorang jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, negara tersebut bertekad terhadap "pelucutan senjata nuklear yang menyeluruh, sah dan mutlak (di Utara Korea) seperti yang dipersetujui oleh Kim di Singapura". 

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan