Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pompeo ke Arab Saudi, UAE runding krisis Iran

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo berkata pada Ahad (23 Jun) bahawa beliau akan melawat Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengadakan rundingan mengenai krisis yang tercetus daripada insiden dron Amerika ditembak jatuh oleh Iran.

Anggaran Waktu Membaca:
Pompeo ke Arab Saudi, UAE runding krisis Iran

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo bercakap kepada para wartawan di Pangkalan Angkatan Tentera Udara Andrews, dekat Washington, sebelum berlepas ke Jeddah, Arab Saudi pada 23 Jun 2019. (Gambar: AFP/POOL/Jacquelyn Martin)

Diterbitkan : 24 Jun 2019 09:07AM Dikemas Kini : 24 Jun 2019 09:14AM

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo berkata pada Ahad (23 Jun) bahawa beliau akan melawat Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengadakan rundingan mengenai krisis yang tercetus daripada insiden dron Amerika ditembak jatuh oleh Iran.

"Kami akan berbincang dengan mereka tentang bagaimana untuk memastikan kami semua sehaluan secara strategik dan bagaimana kami boleh membangunkan perikatan negara-negara dunia" mengenai Iran, katanya.

Iran menembak jatuh dron Global Hawk Amerika Syarikat pada Khamis yang menurut Iran menceroboh ruang udara wilayahnya dekat Selat Hormuz. Dakwaan itu disangkal oleh Amerika Syarikat.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membatalkan rancangan satu serangan tindak balas tentera pada Jumaat dengan mengatakan tindakan sedemikian "tidak wajar" sementara Tehran memberi amaran, sebarang serangan akan membawa kepada kemusnahan kepentingan-kepentingan Washington di Timur Tengah.

Encik Pompeo berkata beliau akan mengunjungi kedua-dua negara itu dalam perjalanannya ke India di mana beliau akan memulakan lawatan kerja pada Selasa.

Bercakap kepada para wartawan ketika berlepas dari Washington, Encik Pompeo menyifatkan Arab Saudi dan UAE sebagai "sekutu hebat di tengah-tengah cabaran yang ditimbulkan oleh Iran."

Encik Pompeo menyelar peta yang dikeluarkan oleh Menteri Ehwal Luar Iran Mohammad Javad Zarif yang menunjukkan apa yang dikatakan sebagai dron pengintip yang menceroboh ruang udara wilayahnya pada lewat Mei. Encik Pompeo menggesa pihak media agar tidak menganggapnya benar.

"Anda sudah lihat peta tidak canggih yang dikeluarkan Menteri Ehwal Luar Zarif yang sangat berbeza berbanding kecemerlangan dan profesionalisme perkhidmatan tentera dan risikan Amerika Syarikat.

Encik Pompeo berkata peta yang dikeluarkan Iran itu "sepatutnya tidak meninggalkan sebarang keraguan dalam fikiran sesiapa bahawa (dron) tanpa senjata itu diterbangkan di ruang udara antarabangsa."

Namun beliau menegaskan tawaran Encik Trump untuk berdialog bagi memperbaiki hubungan dengan Iran. Setakat ini pentadbiran Amerika Syarikat sedang berusaha untuk memencilkan negara itu menerusi sekatan-sekatan ketat.

"Kami bersedia untuk berunding tanpa syarat terdahulu. Mereka tahu bagaimana untuk mencari kami," kata Encik Pompeo.

"Dan saya yakin pada saat mereka benar-benar bersedia untuk berhubung dengan kami, kami akan dapat memulakan perbualan ini," katanya.

"Saya menanti-nantikan hari itu," tambahnya. 

Sumber : AFP/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan