Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis tembak mati lelaki jadikan kanak-kanak tawanan di Sabah

Polis Sabah menembak mati seorang lelaki yang menjadikan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, sebagai tawanan di sebuah apartmen di Telipok, Sabah pada petang semalam (13 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tembak mati lelaki jadikan kanak-kanak tawanan di Sabah

Seorang lelaki menjadikan seorang kanak-kanak perempuan sebagai tawanan di sebuah apartmen di Telipok, Sabah. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Jan 2019 07:33AM Dikemas Kini : 14 Jan 2019 07:38AM

TUARAN: Polis Sabah menembak mati seorang lelaki yang menjadikan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tawanan di sebuah apartmen di Telipok, Sabah pada petang semalam (13 Jan).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah, berkata tindakan itu diambil selepas suspek cuba mencampak kanak-kanak tersebut dari tingkap dapur sebuah unit, yang terletak di tingkat empat pangsapuri berkenaan pada sekitar 6.00 petang.

KANAK-KANAK PEREMPUAN SEDANG BERMAIN APABILA DICULIK

Mengulas mengenai kejadian itu kepada para wartawan di tempat kejadian, Encik Omar berkata polis menerima aduan mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang diculik oleh seorang lelaki tidak dikenali pada pukul 4.00 petang.

"Di tingkat empat blok apartmen ini, ada sebuah gerai dan suspek pergi ke gerai itu sebelum secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dan menangkap kanak-kanak tersebut, yang berada di luar gerai dan mengurungnya di unit rumah tersebut," katanya.

Menurut Encik Omar, suspek yang dianggarkan berusia 30an tahun sebelum itu mengarahkan penghuni unit berkenaan supaya keluar dari rumah.

"Selepas menerima laporan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian dan cuba berunding dengan suspek agar melepaskan kanak-kanak tersebut, namun suspek terus meletakkan pisau di leher kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan luka.

"Suspek kemudian cuba mencampak kanak-kanak itu dan polis terpaksa mengambil tindakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki berkenaan," kata Encik Omar, sambil menambah polis mengambil masa kira-kira dua jam berunding dengan suspek.

Beliau berkata suspek maut di tempat kejadian sementara kanak-kanak itu, yang mengalami luka di bahagian lehernya, dihantar ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut.

SUSPEK TIDAK MINTA TUNTUTAN

Pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada tubuh suspek. Menurut Encik Omar, lelaki itu juga dipercayai bukan penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek mengalami masalah mental kerana dia tidak membuat sebarang ugutan mahupun tuntutan ketika diminta melepaskan kanak-kanak tersebut dan menyerah diri.

Polis akan menyiasat motif kejadian dan kes disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, katanya.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan