Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis tembak mati lelaki dalam tikaman yang disifatkan serangan pengganas; dua mangsa maut

Polis Britain pada Jumaat (29 Nov) menembak mati seorang lelaki yang memakai ves bom nekad palsu setelah dia menikam dua mangsa sehingga maut di London. Tiga orang lain juga cedera dalam insiden tikaman itu sebelum suspek bergelut dengan para pemerhati. 

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tembak mati lelaki dalam tikaman yang disifatkan serangan pengganas; dua mangsa maut

Tembakan dilaporkan didengar di Jambatan London di mana polis Britain menyatakan mereka sedang memberi respons kepada satu insiden tikaman pada 29 Nov 2019. (Gambar: Joshua Fleet/Twitter)

Diterbitkan : 30 Nov 2019 10:23AM Dikemas Kini : 30 Nov 2019 11:15AM

LONDON: Polis Britain pada Jumaat (29 Nov) menembak mati seorang lelaki yang memakai ves bom nekad palsu setelah dia menikam dua mangsa sehingga maut di London. Tiga orang lain juga cedera dalam insiden tikaman itu sebelum suspek bergelut dengan para pemerhati. Pihak berkuasa menyifatkan insiden tersebut sebagai satu serangan pengganas.

Serangan berlaku sebelum jam 2.00 petang (1400 GMT), menyasarkan orang ramai di Fishmongers' Hall yang terletak berhampiran Jambatan London di tengah-tengah pusat kewangan bandar itu.

"Seorang suspek lelaki ditembak oleh para pegawai bersenjata khas dari polis London dan saya boleh mengesahkan dia mati di tempat kejadian," kata pegawai utama anti-pengganasan Neil Basu kepada wartawan.

Beberapa orang cedera semasa kejadian itu yang beliau isytiharkan sebagai insiden pengganas.

"Kami percaya peranti yang dibalut pada badan suspek adalah peralatan letupan palsu."

Enam pemerhati menjatuhkan suspek ke tanah dan merampah pisaunya. Satu video yang dimuat naik ke Twitter menunjukkan polis mengheret seorang lelaki daripada suspek sebelum seorang pegawai menyasarkan suspek dengan penuh berhati-hati. Setelah dua das tembakan dilepaskan, lelaki itu berhenti bergerak.

Perdana Menteri Boris Johnson, yang akan mengadakan pilihan raya kilat pada 12 Disember ini dan bakal menjadi tuan rumah kepada para pemimpin NATO termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump minggu depan, kembali ke Downing Street dan dimaklumkan perkembangan terkini tentang insiden tersebut.

Beliau berkata kejadian itu terkawal dan berikrar bahawa sesiapa yang terlibat akan dijejaki.

Stesen kereta api London Bridge ditutup sejak kejadian berkenaan tercetus dengan tiada perhentian dilakukan di stesen itu.

Warga Singapura, Nadia Rosli, 26 tahun, sedang makan tengah hari bersama seorang rakan di Borough Market yang terletak berdekatan Jambatan London apabila mereka terdengar jeritan dan melihat ramai orang berlari keluar dari kawasan itu.

"Beberapa pegawai polis yang berada di luar sedang mengarahkan semua orang untuk beredar sejauh mungkin dari kawasan itu," katanya.

Nadia menambah ketika sedang melarikan diri, beliau ternampak kereta-kereta polis tiba di tempat kejadian dan helikopter berlegar di udara.  

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan