Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis tahan wanita disyaki buang janin di loji rawatan kumbahan

Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya semalam (7 Nov) kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dengan membuang janin bayi dalam mangkuk tandas yang ditemukan di loji rawatan kumbahan di Taman Mahkota Impian, Jalan Bukit Timbalai pada Isnin lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tahan wanita disyaki buang janin di loji rawatan kumbahan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 08 Nov 2019 04:28PM Dikemas Kini : 08 Nov 2019 04:31PM

LABUAN: Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya semalam (7 Nov) kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dengan membuang janin bayi dalam mangkuk tandas yang ditemukan di loji rawatan kumbahan di Taman Mahkota Impian, Jalan Bukit Timbalai pada Isnin lepas.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata teman lelaki wanita yang sedang menunggu ketibaannya di Lapangan Terbang Labuan ditahan pada pukul 11.55 pagi sebaik wanita itu tiba di lapangan terbang terbabit. Kedua-dua suspek berusia 26 tahun.

“Suspek didapati menyewa sebuah bilik di kawasan perumahan itu bersendirian selama tiga bulan,” kata Supt Muhamad Farid dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, wanita itu mengadu kepada teman lelakinya bahawa dia sakit perut pada malam kejadian.

“Suspek wanita kemudian pergi ke tandas dan pengsan...teman lelakinya terus menghantar wanita itu ke Hospital Nukleus Labuan,” katanya.

Supt Muhamad Farid berkata bedah siasat yang dilakukan pakar patologi dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu lalu mendapati janin itu mengalami lebam yang mungkin disebabkan proses kelahiran.

“Oleh kerana siasatan lanjut sedang dijalankan, kami tidak dapat menolak sama ada kejadian ini akibat perbuatan keguguran atau pengguguran,” katanya.

Wanita terbabit yang bekerja dengan syarikat minyak dan gas dan logistik ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Teman lelakinya yang merupakan penjawat awam dilepaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama ditahan selepas disoal siasat polis, katanya.

Dalam kejadian 4 Nov itu, kakitangan penyelenggaraan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menjumpai janin berusia antara enam hingga tujuh bulan di loji rawatan kumbahan itu ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pada pukul 8.00 pagi.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan