Images
  • msia police car
    Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Polis tahan lelaki setelah ugut bunuh ibu dengan pedang samurai

LAHAD DATU: Seorang juruteknik penapis air yang dimarahi ibunya kerana curang, mengugut mahu membunuh wanita itu menggunakan pedang samurai, di sebuah rumah di Taman Pertama Satu, pada Khamis (16 Mei).

Ekoran kejadian pada 9.00 malam itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata ibu suspek berusia 53 tahun membuat aduan polis sejurus selepas insiden itu kerana takut.

"Suspek berusia 27 tahun itu kemudiannya ditahan selepas menyerah diri di balai polis dan suspek ditahan reman, sejak semalam (17 Mei), selama empat hari bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini (18 Mei).

Menurut ACP Nasri, kejadian itu berpunca apabila suspek memarahi isterinya selepas isterinya menemui beg tangan dipercayai milik teman wanitanya.

"Ekoran itu, berlaku pertengkaran antara suspek dan isterinya sebelum mangsa yang mendengar pergaduhan itu bertanya hal sebenar kepada suspek.

"Namun suspek tiba-tiba bertindak agresif mengamuk serta mengambil sebilah pedang dari dapur dan menghunus kepada mangsa, selain mahu membunuh semua yang berada di dalam rumah itu," katanya.

Menurut ACP Nasri, isteri suspek bagaimana pun mengambil pedang berkenaan daripada suspek dan meminta suaminya bertenang, sebelum suspek keluar daripada rumah.

ACP Nasri berkata mangsa yang tidak bekerja tinggal di rumah suspek bersama isterinya serta enam anak mereka.

Polis turut merampas sebilah pedang dipercayai digunakan suspek untuk mengugut mangsa dan kes itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan, katanya.

- BERNAMA/NA/na

Top