Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis siasat kes wanita tiba-tiba bersalin meski dalam koma selama 14 tahun

Polis Phoenix melancarkan siasatan terhadap beberapa aduan berhubung serangan seksual selepas seorang wanita melahirkan seorang bayi, meskipun berada dalam keadaan koma sejak sedekad lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat kes wanita tiba-tiba bersalin meski dalam koma selama 14 tahun

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Jan 2019 10:47PM Dikemas Kini : 06 Jan 2019 10:56PM

ARIZONA: Polis Phoenix melancarkan siasatan terhadap beberapa aduan berhubung serangan seksual selepas seorang wanita melahirkan seorang bayi, meskipun berada dalam keadaan koma sejak sedekad lalu.

Wanita berkenaan, yang berada dalam keadaan koma akibat satu insiden di mana beliau lemas, adalah seorang pesakit di Hacienda Healthcare. Beliau melahirkan seorang bayi lelaki pada 29 Disember lalu, menurut media tempatan.

Tiada sesiapa pun yang tahu bahawa wanita itu hamil. Pada awalnya, para kakitangan pusat jagaan kesihatan itu juga kurang pasti mengapa wanita itu mengerang kesakitan, menurut laporan-laporan.

Polis bimbang bahawa mangsa mungkin dirogol semasa dalam keadaan koma oleh penyerangnya. Sumber-sumber pula menyatakan pesakit berkenaan dijaga oleh ramai orang dan ramai orang mendapat akses kepadanya.

"Isu ini sedang disiasat oleh Jabatan Polis Phoenix," kata Sarjan Tommy Thompson kepada agensi berita Reuters apabila diminta untuk mengulas mengenai laporan-laporan media tersebut.

Jurucakap Hacienda Healthcare, David Leibowitz, berkata pusat jagaan kesihatan berkenaan hanya dimaklumkan baru-baru ini mengenai "insiden yang amat membimbangkan" itu yang melibatkan salah seorang pesakitnya.

Encik Leibowitz bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada para kakitangan pusat itu diminta menjalani ujian DNA bagi mengenal pasti suspek, atau sama ada pusat perubatan itu mengambil langkah-langkah pencegahan bagi melindungi para pesakit daripada keadaan yang serupa.

"Meskipun undang-undang privasi persekutuan dan wilayah melarang kami daripada membincangkan kes atau tahap kesihatan seseorang pesakit secara terbuka, Hacienda akan terus bekerjasama dengan pihak penguatkuasaan undang-undang dan semua agensi kawal selia yang relevan berhubung perkara ini," kata Encik Leibowitz menerusi emel.

Hacienda Healthcare menyifatkannya sebagai penyedia khidmat jagaan kesihatan khas utama di Arizona bagi para bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa muda yang lemah dari segi perubatan atau mempunyai masalah kesihatan kronik, serta mereka yang kurang upaya dari segi intelektual atau pembangunan.

Jurucakap Gabenor Arizona Doug Ducey berkata, laporan-laporan itu "amat membimbangkan" dan wilayah tersebut sedang menilai semula kontrak dan kuasa kawal selianya terhadap Hacienda Healthcare bagi mempertingkatkan langkah-langkah untuk memastikan keselamatan pesakit.  

Sumber : Reuters/AI/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan