Images
  • crime
    Gambar fail. (Gambar: Brendan Smialowski/AFP)

Polis siasat kes 30 kubur Islam dirosakkan, dibakar

MELAKA: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung perbuatan khianat merosakkan beberapa batu nisan di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang pada Jumaat malam (21 Jun).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, Penolong Pesuruhjaya Mohd Nor Yhazid Idris meminta semua pihak bertenang dan tidak menularkan gambar serta video kejadian itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan terhadap kejadian tersebut.

“Kita dalam proses membuat pengecaman bagi mengenal pasti individu yang terlibat dan telah mengambil keterangan daripada dua individu yang didakwa berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini (22 Jun).

Encik Mohd Nor Yhazid berkata polis juga sedang meneliti beberapa aduan polis bagi membuka kertas siasatan dan buat masa ini kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan.

Media tempatan semalam melaporkan penduduk Bachang digemparkan dengan kejadian melibatkan sekitar 30 batu nisan di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kira-kira jam 8.00 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Penolong Pesuruhjaya Afzanizar Ahmad ketika dihubungi berkata pihaknya menerima satu aduan polis berhubung tanah perkuburan diceroboh dan batu nisan dirosakkan pada pukul 10.20 malam tadi.

Beliau berkata berdasarkan aduan daripada seorang lelaki berusia 41 tahun, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

“Sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak polis dan kes masih dalam siasatan,” katanya.

Encik Afzanizar berkata menurut pengadu terdapat 30 buah kubur dirosakkan dan dua daripadanya mempunyai kesan terbakar.

Katanya pihak polis meminta saksi kejadian atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

- BERNAMA/TQ/tq

Top