Images
  • malaysia police
    Gambar fail logo Polis Diraja Malaysia. (Gambar: AFP/Saeed Khan)

Polis siasat kematian Mejar Zahir disebabkan kecuaian

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap insiden Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Rabu lalu menjurus kepada faktor kecuaian.

Pesuruhjaya Polis Sabah Encik Omar Mammah berkata kes tersebut disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan beberapa individu akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, siasatan mendapati ia menjurus kepada kecuaian tetapi siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi.

Encik Omar berkata setakat ini 11 individu termasuk anggota tentera yang terlibat dalam insiden tembakan itu sudah dipanggil bagi memberi keterangan.

Khamis lepas, Ketua Polis Negara Encik Abdul Hamid Bador berkata Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan siasatan penuh berhubung insiden itu termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Mej Mohd Zahir Armaya, 36 tahun, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia pada Rabu selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.

- BERNAMA/NA/na

Top