Images
  • anu
    Salah seorang pelajar yang diserang menuntut di Universiti Kebangsaan Australia (Gambar: The Australian National University)

Polis siasat dakwaan serangan terhadap 2 penuntut Muslim universiti Australia

CANBERRA: Dua universiti di Canberra menyatakan pada Isnin (11 Feb) bahawa pihaknya "amat terkejut" bahawa dua pelajar berhijab warga Indonesia dipercayai menjadi mangsa serangan di ibu kota Australia itu.

The Jakarta Post melaporkan, Universiti Canberra dan Universiti Kebangsaan Australia - di mana dua pelajar itu sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana - menyuarakan kebimbangan dan menyatakan bahawa mereka sedang menghulurkan bantuan kepada kedua-dua mangsa.

"Universiti Canberra dan Universiti Kebangsaan Australia amat bimbang dan sedih atas laporan berhubung dua penuntutnya yang menjadi mangsa serangan. Keutamaan kami adalah kebajikan para pelajar dan kami sedang menghulurkan sokongan dan bantuan kepada mereka yang terjejas," menurut kenyataan bersama kedua-dua universiti yang diterima Jakarta Post.

"Kami terkejut dan kecewa kejadian ini berlaku di Canberra, sebuah bandar di mana insiden sebegini jarang sekali berlaku," menurut kedua-dua universiti itu.

Kenyataan itu menambah, kedua-dua universiti bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkepentingan - termasuk polis, pentadbir bandar, kumpulan wakil pelajar dan pertubuhan masyarakat untuk menjadikan kampus-kampus dan Canberra tempat yang selamat untuk tinggal dan belajar.

The Jakarta Post melaporkan polis tempatan sedang menyiasat dakwaan serangan ke atas dua pelajar Muslim Indonesia dekat dengan pusat bandar Canberra itu.

Kedua-dua pelajar perempuan, yang hanya dikenali sebagai AY dan MT, sedang berjalan-jalan di pusat bandar itu pada satu petang Khamis apabila dua orang yang tidak dikenali mula menjerit ke arah mereka.

Dua individu yang tidak dikenali itu - seorang wanita warga Australia dan rakan lelakinya - dikatakan menuding jari sambil melontarkan komen tentang hijab yang dipakai kedua-dua pelajar.

"(Mereka menjerit) Mengapa kamu memakai serba hitam? Mengapa kamu masih hidup? Tidak adil buat kami," kata pengerusi Persatuan Pelajar Indonesia di Australia (PPIA) Welhelmus Poek semasa menggambarkan apa yang diadu oleh salah seorang pelajar itu minggu lalu.

Menurut The Jakarta Post lagi, wanita itu kemudian didakwa menyerang AY, menyebabkan beliau terjatuh dan mengalami kecederaan ringan pada lututnya.

Pihak berkuasa belum mengenalpasti motif di sebalik serangan, namun ia disyaki berunsur perkauman.

Sebagai respons kepada isu tersebut, Kedutaan Indonesia di Canberra mengutuskan notis diplomatik ke Jabatan Ehwal Luar dan Perdagangan Australia untuk menggesanya agar menyiasat kes itu dengan teliti.

Vita Rosiana Dewi, seorang pelajar Indonesia di Universiti Kebangsaan Australia, terkejut apabila mendapat tahu tentang insiden itu. Pelajar berusia 25 tahun itu berkata beliau belum pernah mengalami diskriminasi di Canberra kerana memakai hijab.

"Canberra adalah tempat yang selamat untuk tinggal dan belajar. Namun ia memang agak sunyi," Vira memberitahu The Jakarta Post.

- Agensi berita/TQ/tq

Top