Images
  • dadah dirampas
    Gambar: BERNAMA

Polis Pulau Pinang lumpuhkan 3 sindiket dadah, rampas barangan S$102,000

GEORGE TOWN: Polis Malaysia melumpuhkan tiga sindiket penyeludupan dadah dan merampas wang tunai berjumlah RM300,000 (S$102,000) dalam beberapa serbuan yang dijalankan di tiga lokasi di Pulau Pinang sejak minggu lalu.

Ketua Polis Negeri, A Thaiveegan, berkata bahawa serbuan pertama dilakukan pada pukul 12.45 pagi pada 10 Jun lalu, di mana pihak polis memberkas seorang lelaki berusia 42 tahun dan merampas dadah bernilai RM26,260 (S$8,900) daripada beg yang dibawanya.

"Menyusuli penangkapan itu, kami menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di Jambatan Pulau Pinang pada pukul 5.00 petang pada hari yang sama dan juga pelbagai dadah yang bernilai RM21,000 (S$7,100) daripada suspek," katanya kepada para wartawan pada Selasa (19 Jun).

Menurut beliau lagi, serbuan ketiga dilakukan pada 14 Jun di sebuah rumah di Air Itam, di mana dua lelaki dan seorang wanita ditangkap dan heroin bernilai RM249,500 (S$85,000) dirampas.

Sebanyak 18.62kg heroin, 52.7gm Ketamine, 200 pil ekstasi dan 2,400 erimin-5 pil dirampas dalam serbuan itu, katanya sambil menambah polis turut merampas alat menghasilkan dadah, sebuah motosikal dan kereta bernilai RM71,600 (S$24, 300).

- BERNAMA/NA/sm

Top