Images
  • morocco
    Pergunungan Atlas di Maghribi yang popular dengan para pendaki gunung. (Gambar: Fadel Senna/AFP)

Polis Maghribi berkas lagi 3 suspek pembunuhan wanita Denmark, Norway

COPENHAGEN: Polis Maghribi pada Khamis (20 Dis) memberkas tiga orang yang diburunya berhubung pembunuhan dua wanita pelancong asing dari Norway dan Denmark. Kedua-dua mangsa dipercayai dibunuh dalam serangan militan di Pergunungan Atlas.

Mayat Louisa Vesterager Jespersen, seorang rakyat Denmark yang berusia 24 tahun, dan Maren Ueland, rakyat Norway yang berusia 28 tahun, ditemui pada Isnin (17 Dis) di sebuah kawasan terpencil dekat Imlil, berhampiran Toubkal di Afrika Utara.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa suspek yang diberkas di sebuah hab pelancongan di Marrakesh pada Selasa (18 Dis) merupakan seorang anggota kumpulan militan. Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan nama kumpulan tersebut.

Awal semalam (20 Dis), pasukan risikan Denmark menyatakan bahawa kumpulan ISIS mungkin bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut. Lagi tiga suspek yang diburu polis juga sudahpun diberkas di Marrakesh, menurut Biro Siasatan Kehakiman Maghribi dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bukti yang dikumpulkan sejauh ini menunjukkan bahawa pembunuhan tersebut bermotif pengganas.

Siasatan awal rakaman video yang dikongsi di media sosial yang menunjukkan pembunuhan salah seorang pelancong asing itu mendapati bahawa ia dirakamkan di lokasi berbeza berbanding kawasan di mana mayat kedua-dua mangsa ditemui, menurut sumber polis.

"Rakaman video dan siasatan awal, menurut pihak berkuasa Maghribi, menunjukkan bahawa pembunuhan itu mungkin ada kaitan dengan kumpulan militan ISIS," menurut jabatan risikan Denmark dalam satu kenyataan.

"Ini merupakan satu kes pembunuhan yang jarang berlaku terhadap dua wanita muda yang tidak berdosa," menurutnya.

Sebelum berlepas ke Maghribi, Cik Jespersen daripada Denmark memuat naik catatan mengenai perjalanannya ke laman Facebooknya.

Jika dibandingkan dengan negara-negara lain di Afrika Utara, Maghribi terlindung daripada serangan-serangan pengganas. Serangan pengganas sebelum ini dilancarkan pada April 2011, di mana 17 orang terbunuh akibat letupan bom di sebuah restoran di Marrakesh.

"Ini merupakan satu serangan kejam dan tidak bermakna terhadap orang-orang yang tidak berdosa, dan kami mengutuk keras serangan seumpama ini," tegas Perdana Menteri Norway, Erna Solberg, dalam satu kenyataan.

Biro Pusat Siasatan Kehakiman Maghribi yang ditubuhkan pada 2015 menyatakan bahawa sejauh ini, ia sudahpun menghapuskan 57 kumpulan militan, termasuk lapan pada tahun ini. 

- Reuters/AI/ai

Top