Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia siasat lebih 200 warga asing langgar SOP solat Aidiladha luar masjid

Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan lanjut berhubung video tular menunjukkan beratus-ratus individu dipercayai warga asing melanggar prosedur operasi standard (SOP) solat sunat Aidiladha dengan melakukan solat itu di kawasan terbuka dan tepi jalan di Surau Taman Pelangi, Juru.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis M'sia siasat lebih 200 warga asing langgar SOP solat Aidiladha luar masjid

(Gambar: Inforoadblock/Facebook)

Diterbitkan : 21 Jul 2021 11:34AM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 11:37AM

BUKIT MERTAJAM: Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan lanjut berhubung video tular menunjukkan beratus-ratus individu dipercayai warga asing melanggar prosedur operasi standard (SOP) solat sunat Aidiladha dengan melakukan solat itu di kawasan terbuka dan tepi jalan di Surau Taman Pelangi, Juru, Bukit Mertajam, pada Selasa (20 Jul).

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya juga sedang mengesan semua jemaah terlibat yang dipercayai adalah warga asing dan penduduk di kawasan berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang tular itu.

"Berdasarkan siasatan awal, pihak surau memaklumkan surau tersebut dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha dengan kapasiti maksimum seramai 100 orang sahaja namun pagi tadi, ia menerima limpahan kehadiran orang ramai yang mahu menunaikan solat itu melebihi jumlah yang dibenarkan untuk SOP solat sunat tersebut.

"Ekoran itu, pengurusan surau telah mengarahkan mereka yang lain pulang dan menutup pintu pagar surau selepas kapasiti 100 jemaah telah cukup bagi mengelak lebih ramai yang masuk untuk menunaikan solat (sunat Aidiladha), dengan lebih 200 orang dipercayai kebanyakan warga asing bertindak solat di kawasan terbuka dan tepi jalan surau tersebut," katanya semasa sidang media pada Selasa.

Beliau menambah pihak pengurusan surau kemudiannya meneruskan solat sunat Aidiladha dan tidak bertindak untuk menyuraikan mereka yang solat di luar kerana sedia maklum akan sensitiviti solat malah turut tidak menghubungi polis bagi memaklumkan keadaan itu.

Encik Mohd Shuhaily berkata siasatan juga mendapati kejadian solat beramai-ramai di luar surau itu adalah tindakan spontan namun pihaknya menjalankan siasatan lanjut dan terperinci jika terdapat perancangan awal mereka berkumpul untuk menunaikan solat Aidiladha.

Beliau menambah ratusan individu itu juga bersurai selepas menunaikan solat sunat Aidiladha yang bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 9.00 pagi.

Berdasarkan keterangan awal pihak pengurusan surau, semua mereka menunaikan solat di kawasan terbuka tersebut mematuhi SOP dengan penjarakan fizikal yang ditetapkan.

"Berdasarkan siasatan awal, pasukan polis telah membuat rondaan pematuhan SOP di kawasan surau itu pagi tadi dan 180 buah masjid serta 57 buah surau lain di seluruh negeri, namun tidak dapat mengesan awal insiden tersebut," katanya.

Setakat ini, tambah beliau, tiada keperluan untuk pihak pengurusan surau itu dikompaun kerana ia mematuhi SOP yang ditetapkan malah, mengikut arahan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) dengan menunaikan solat itu dalam masa singkat serta jumlah jemaah yang ditetapkan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan