Images
  • dadah
    (Gambar: Bernama)

Polis M'sia rampas ‘dadah jihad’ bernilai lebih RM221 juta

PELABUHAN KLANG: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merampas 650 kilogram dadah jenis pil captagon atau dikenali sebagai ‘dadah jihad’ bernilai lebih RM221.86 juta (S$71.86 juta) di Pelabuhan Klang, Isnin lalu.

Pengarah JSJN Encik Razarudin Husain berkata rampasan kedua dadah tersebut di Malaysia adalah hasil perkongsian maklumat perisikan daripada Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

“Dadah itu telah dibawa dari negara Timur Tengah dan singgah di Pelabuhan Klang sebelum dirancang untuk menuju ke negara-negara Timur Tengah untuk memenuhi permintaan pasaran di sana,” katanya di sidang media hari ini (8 Apr).

Beliau berkata menyusuli hasil maklumat risikan tersebut, pihaknya berjaya mengesan sebuah kapal yang berlabuh di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang di pada Ahad lalu.

“Maklumat risikan mendedahkan sebuah kontena daripada kapal tersebut akan dipindahkan ke kapal lain yang akan meneruskan perjalanan ke Singapura pada 6 April,” katanya.

Encik Razarudin berkata dadah yang disimpan di dalam aluminium 'floor spring' itu berjaya dikesan pihak berkuasa melalui hasil imbasan yang menimbulkan imej yang mencurigakan.

Namun katanya, tiada penangkapan dibuat dalam operasi tersebut dan JSJN dan pihak berkuasa Arab Saudi akan terus bekerjasama untuk menangkap pihak yang terlibat.

Menurutnya lagi, pil itu pada mulanya digunakan oleh Jerman untuk membesarkan otot seawal 1960-an namun telah diharamkan penggunaannya di Amerika Syarikat dan Eropah pada 1980-an kerana dikategorikan sebagai dadah.

Encik Razarudin berkata dadah yang mempunyai kandungan amfetamina dan fenethylline itu biasanya digunakan oleh kumpulan militan ISIS untuk menimbulkan rasa berani dan kini mula digunakan di pusat-pusat hiburan, namun katanya dadah tersebut masih belum memasuki pasaran Malaysia.

“Kita tidak mahu Malaysia dijadikan negara transit dadah dan mahu menyekat dadah ini dari masuk ke dalam negara ini,” katanya.  

- BERNAMA/NA/na

Top