Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia lumpuhkan rancangan pengganas; 4 suspek diberkas

Empat lelaki disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas yang merancang untuk melancarkan operasi pembunuhan berprofil tinggi, diberkas di sekitar Terengganu dan Lembah Klang dari Ahad hingga Selasa lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis M'sia lumpuhkan rancangan pengganas; 4 suspek diberkas

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 May 2019 08:07PM Dikemas Kini : 13 May 2019 08:10PM

KUALA LUMPUR: Empat lelaki disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas yang merancang untuk melancarkan operasi pembunuhan berprofil tinggi, diberkas di sekitar Terengganu dan Lembah Klang dari Ahad hingga Selasa lalu.

Ketua Polis Malaysia Abdul Hamid Bador berkata kesemua suspek terbabit antaranya mempunyai rancangan untuk melancarkan operasi pembunuhan bagi menuntut keadilan atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya tahun lalu.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditangkap mengaku menganggotai sel “Wolf Pack” pengganas ISIS serta bersedia untuk melancarkan serangan di negara ini pada minggu pertama bulan Ramadan bagi membalas dendam terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib.

“Sel ini juga merancang untuk melakukan pembunuhan terhadap personaliti-personaliti berprofil tinggi yang dituduh tidak memperjuangkan dan menghina agama Islam.

“Selain itu, mereka juga merancang untuk melakukan serangan berskala besar terhadap tempat-tempat ibadat seperti agama Kristian, Hindu, Buddha dan pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang,” katanya di sidang akhbar khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Isnin (13 Mei).

Encik Abdul Hamid berkata suspek pertama yang ditahan adalah rakyat tempatan yang juga ketua sel “Wolf Pack” pengganas Daesh berusia 34 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan.

“Suspek merupakan dalang yang merancang untuk melakukan pembunuhan dan serangan ke atas tempat-tempat ibadat seperti agama Kristian, Hindu dan Buddha termasuk pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

“Tangkapan ini juga membawa kepada rampasan sepucuk pistol jenis CZ 9mm bersama 15 butir peluru dan enam ‘improvised explosives deviced’ (IED) yang setiap satu berukuran lebih kurang 18cm panjang,” katanya.

Beliau berkata senjata api dan enam batang IED itu diperoleh dari sebuah negara jiran dan akan digunakan dalam operasi pembunuhan dan serangan terhadap tempat-tempat ibadat bukan Islam itu serta pusat hiburan.

Selain itu, suspek kedua yang ditahan adalah seorang lelaki berketurunan Rohingnya dan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Encik Abdul Hamid berkata lelaki yang berusia 20 tahun itu bekerja sebagai pelayan restoran dan mengaku menganggotai kumpulan pengganas itu serta menyokong kumpulan pengganas Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA).

“Suspek turut merancang untuk melancarkan serangan ke atas Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dan berjihad di Rakhine,” katanya.

Encik Abdul Hamid berkata suspek ketiga merupakan rakyat Indonesia berusia 49 tahun dan bekerja di sebuah kilang membuat zink.

“Suspek mengaku terlibat dalam sel “Wolf Pack” pengganas Daesh dan merancang untuk berjihad di Syria, manakala suspek keempat merupakan lelaki berketurunan Rohingya berusia 25 tahun bekerja sebagai buruh turut mengaku terlibat dalam sel yang sama.

“Kami sedang berusaha untuk mengesan tiga lagi anggota Daesh yang disyaki terlibat dalam rancangan untuk melancarkan serangan ke atas rumah-rumah ibadat bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata mereka yang diburu adalah dua rakyat tempatan iaitu Syazani Mahzan dan Muhamad Nuurul Amin Azizan, masing-masing berusia 27 tahun dengan alamat terakhir di No. 35, Taman Bedong, 08100 Bedong, Kedah dan di No. 55 di taman yang sama,” katanya.

Seorang lagi suspek ialah rakyat Indonesia, Fatir Tir yang merupakan buruh binaan dengan alamat akhirnya No.13, Jalan Toman 9, 42700 Banting, Selangor.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung ketiga-tiga individu terbabit diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

Encik Abdul Hamid berkata mana-mana individu yang didapati menyembunyikan sebarang maklumat, bersubahat atau melindungi individu-individu berkenaan, boleh dituduh di bawah Seksyen 130M, 130K dan 130L Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan itu mereka boleh dihukum penjara antara tujuh hingga 30 tahun.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan