Images
  • msia
    Gambar fail Encik Ayob Khan Mydin Pitchay. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Polis M'sia dalam proses bawa pulang 23 warga M'sia ditahan di Syria

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses membawa pulang 23 daripada 51 warga Malaysia yang ditahan di Syria, dipercayai terlibat dalam aktiviti keganasan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Encik Ayob Khan Mydin Pitchay berkata daripada jumlah itu, 11 orang terdiri daripada golongan dewasa dan 12 kanak-kanak.

"Kesemua mereka (tahanan) sudah berhubung dengan keluarga masing-masing dan keluarga mereka menghubungi PDRM untuk bantu proses membawa pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi ceramah pada majlis Perhimpunan Perpaduan Demi Negara Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk, hari ini (16 Mac).

Encik Ayob Khan berkata tahanan lelaki yang dibawa pulang akan terus disoal siasat manakala wanita dan kanak-kanak pula akan disoal siasat secara berperingkat serta diberi khidmat kaunseling.

"Apa yang pasti, mereka yang balik, kalau lelaki, kami akan tangkap dan jalankan soal siasat.

Bagi wanita dan kanak-kanak kami akan meneliti kes mereka kerana ada dalam kalangan wanita ini mungkin terpaksa ikut suami mereka ke Syria.

"Dalam proses menyoal siasat mereka, kami akan libatkan pakar kaunseling, pakar psikologi serta ustaz untuk memberi khidmat kaunseling, nasihat dan menilai mereka (wanita dan kanak-kanak) agar tidak lagi terlibat aktiviti keganasan,” katanya.

Encik Ayob Khan berkata khidmat kaunseling akan diberikan sehingga mereka benar-benar bebas daripada segala fahaman terpesong dan kemudian akan dibebaskan dengan pemantauan polis.

Beliau berkata proses membawa pulang kesemua mereka belum dapat dimuktamadkan kerana ia melibatkan perbincangan dengan pelbagai pihak.

"Perkara ini melibatkan perbincangan kami dengan banyak pihak di Syria, sebab ada yang ditahan di kem Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), ada yang ditahan oleh pihak Syria sendiri.

"Kami hendak mengesan di mana mereka berada sama ada di bawah kem PBB (Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu) atau Al-Qaeda atau di mana-mana. Kemudian, barulah kami boleh membimbing dan mengatur untuk bawa mereka kembali ke Malaysia dan ia memakan masa lama," katanya. 

- BERNAMA/NA/na

Top