Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia akan ambil keterangan Anwar Ibrahim pada Jumaat

Polis akan mengambil keterangan Anwar Ibrahim di Bukit Aman esok (16 Okt), berhubung siasatan kes penyebaran senarai nama 121 ahli parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk membentuk kerajaan baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis M'sia akan ambil keterangan Anwar Ibrahim pada Jumaat

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 15 Oct 2020 12:54PM Dikemas Kini : 15 Oct 2020 12:57PM

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan Anwar Ibrahim di Bukit Aman esok (16 Okt), berhubung siasatan kes penyebaran senarai nama 121 ahli parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk membentuk kerajaan baru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata keterangan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman. 

"Polis masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu dan Anwar diminta hadir esok (Jumaat) untuk memberi keterangan," katanya dalam kenyataan hari ini (15 Okt). 

Beliau berkata hingga kini, sebanyak 113 laporan polis diterima berhubung kes itu. 

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau juga menggesa orang ramai agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau berita mempunyai kecenderungan mencetuskan suasana tidak harmoni, perpecahan serta perasaan permusuhan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam. 

Sebelum ini, media melaporkan temu janji Encik Anwar di Bukit Aman yang dijadualkan pada 13 Okt ditangguh ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian.

Pada Selasa lalu (13 Okt), ahli parlimen Port Dickson itu menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi menyampaikan pernyataan yang beliau mempunyai majoriti di Parlimen untuk dilantik selaku perdana menteri.

Pada 23 September, Encik Anwar, pada satu sidang media mendakwa beliau mendapat sokongan 'kukuh dan meyakinkan' daripada ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan