Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Kedah tumpas sindiket seludup dadah di sempadan M'sia-Thai

Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah terbesar bagi tahun ini, menyusuli penahanan tujuh lelaki dan penemuan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM18 juta (S$5.9 juta) berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Kedah tumpas sindiket seludup dadah di sempadan M'sia-Thai

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 27 Nov 2020 02:28PM Dikemas Kini : 27 Nov 2020 02:32PM

KUALA NERANG: Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah terbesar bagi tahun ini, menyusuli penahanan tujuh lelaki dan penemuan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM18 juta (S$5.9 juta) berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Kedah Hasanuddin Hassan berkata penahanan yang dilakukan dalam empat serbuan berasingan pada Rabu dan Khamis itu, melibatkan penangkapan lima lelaki warga Thailand dan dua lelaki tempatan berumur 32 hingga 48 tahun.

"Serbuan pertama pada pukul 8.00 malam Rabu lepas, polis menahan sebuah kereta jenis Wira Aeroback di tepi Jalan Padang Sanai dan menahan dua lelaki Thailand berumur 28 tahun. Pemeriksaan lanjut menemukan dadah jenis heroin seberat lebih 108 kilogram (kg) di bahagian belakang bonet kereta dianggarkan bernilai RM18 juta (S$5.9 juta).

“Pada 6.00 pagi Khamis, dibantu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Bidor satu serbuan dilakukan di kawasan Hutan Simpan Situlang, Padang Terap dan seorang lelaki Melayu dan lelaki Thailand yang menaiki kereta jenis Pajero Mitsubishi berjaya ditahan," katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap hari ini (27 Nov).

Katanya lagi, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemui dadah jenis ganja seberat 7.75 kg bernilai RM20,000 (S$6,600) di bahagian tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Encik Hasanuddin berkata serbuan seterusnya dibuat di kawasan sama pada 10.30 pagi dan pihaknya berjaya menahan seorang lelaki Melayu dan warga Thailand yang menaiki kereta jenis Mitsubishi Triton dan turut menjumpai selaras senapang patah dan sebilah parang bersama suspek.

"Polis turut menjumpai dadah jenis syabu seberat 9.3 gram dan 5.18 gram dadah jenis pil kuda yang dianggarkan bernilai RM1,450 (S$478). Kedua-dua suspek yang positif dadah jenis syabu itu ditahan dan dibawa ke IPD Padang Terap untuk siasatan lanjut.

"Kemudian, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga Thailand yang dilihat mencurigakan di kawasan hutan yang sama. Lokasi penahanan di kawasan hutan itu sangat hampir dengan sempadan dan terdapat beberapa khemah sementara dipasang yang disyaki dijadikan sebagai lokasi transit," katanya.

Beliau tidak menafikan penahanan kesemua suspek itu mempunyai kaitan antara satu sama lain dan kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan