Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Johor lancar inisiatif '1 Masjid 1 Polis' demi banteras kegiatan jenayah di kawasan masjid

Polis Johor bertindak proaktif menerusi jalinan kerjasama dengan pihak pengurusan masjid di negeri ini melalui program ‘Satu Masjid Satu Polis’ (1M1P) sebagai usaha membanteras kegiatan jenayah secara menyeluruh termasuk di kawasan masjid.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Johor lancar inisiatif '1 Masjid 1 Polis' demi banteras kegiatan jenayah di kawasan masjid

Persekitaran majlis pelancaran '1 Masjid 1 Polis'. (Gambar: Polis Johor/ Facebook)

Diterbitkan : 04 Mar 2018 05:40PM Dikemas Kini : 04 Mar 2018 05:45PM

JOHOR BAHRU: Polis Johor bertindak proaktif menerusi jalinan kerjasama dengan pihak pengurusan masjid di negeri ini melalui program ‘Satu Masjid Satu Polis’ (1M1P) sebagai usaha membanteras kegiatan jenayah secara menyeluruh termasuk di kawasan masjid.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata program dengan usaha sama Jabatan Agama Islam Negeri Johor itu juga bertujuan untuk meluaskan jaringan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pengurusan masjid.

“Program 1M1P ini amat baik, di mana pihak pengurusan masjid dapat menyampaikan aduan dan maklumat terus kepada anggota atau pegawai polis yang ditugaskan sebagai pegawai perhubungan masjid, sekiranya terdapat sebarang kejadian berlaku di kawasan masjid mahupun di luar kawasan masjid,” katanya.

“Setakat ini, seramai 32 pegawai perhubungan masjid dipilih dan masing-masing ditempatkan di 32 masjid di Johor Bahru Selatan dan kita bercadang untuk meluaskan program ini kepada seluruh daerah,” tambah beliau selepas melancarkan program ‘High Profile Policing’ di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee hari ini (4 Mac).

Menurutnya lagi, program 1M1P yang bermula pada hari ini (4 Mac) di seluruh Johor itu juga akan memastikan pegawai perhubungan masjid membuat lawatan sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi berinteraksi dan mendapatkan maklum balas terhadap keselamatan masjid dan sekitarnya.

“Pihak polis bukan sahaja melakukan pemantauan berterusan, malah turut terlibat dalam program yang dilaksanakan masjid, selain memberi ceramah dan kempen mengenai kaedah pencegahan jenayah,” kata Datuk Khalil.

Beliau berkata masyarakat juga perlu membantu pihak polis dengan sentiasa mengawasi gerak-geri orang awam di sekeliling bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.

“Masyarakat harus mempunyai rasa tanggungjawab dan mengambil berat terhadap keselamatan perkesekitaran serta mewujudkan persekitaran kondusif dengan slogan ‘United Against Crime’ (Bersatu Menentang Jenayah),” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan