Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis jawab isu makan coklat, minta makanan di rumah Najib

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menyatakan bahawa ia akan menjalankan siasatan ke atas sebarang dakwaan salah laku oleh anggota polis, seperti yang didakwa mantan perdana menteri dan anggota keluarganya.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis jawab isu makan coklat, minta makanan di rumah Najib

Pengarah JSJK, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menjelaskan bahawa pada 16 dan 17 Mei lalu, pihaknya menggeledah enam premis yang dikaitkan dengan siasatan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). (Gambar: Petikan Skrin BernamaTV/Youtube)

Diterbitkan : 20 May 2018 08:11AM Dikemas Kini : 20 May 2018 08:13AM

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menyatakan bahawa ia akan menjalankan siasatan ke atas sebarang dakwaan salah laku oleh anggota polis, seperti yang didakwa mantan perdana menteri dan anggota keluarganya.

Dalam satu kenyataan semalam (19 Mei), Pengarah JSJK, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menjelaskan bahawa pada 16 dan 17 Mei lalu, pihaknya menggeledah enam premis yang dikaitkan dengan siasatan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kata beliau, enam ‘pegawai kanan polis’ dilantik sebagai ‘Pegawai Lapangan’ sewaktu itu untuk memantau setiap premis, lapor Astro AWANI.

“Setiap Komander yang bertanggungjawab telah diingatkan oleh saya secara jelas untuk melakukan penggeledahan secara profesional dan paling penting menghormati penghuni di premis terbabit, kerana ia dihuni oleh mantan perdana menteri dan anggota keluarganya.

"Berkaitan dakwaan bahawa ‘ada yang meminta makanan disediakan dan anggota polis menjamah makanan dan coklat dari peti sejuk', saya memohon agar maklumat diberikan, seperti dimanakah kejadian itu berlaku dan mengenal pasti anggota yang didakwa terbabit.

“Saya tidak akan bertoleransi dengan sikap tidak profesional dan tindakan tegas terhadap anggota yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) polis, sekiranya dakwaan itu benar," tegas beliau.

Dakwaan terbabit disampaikan menerusi peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Harpal Singh Grewal, lapor Astro AWANI.

Mengenai dakwaan oleh Datin Seri Rosmah Mansor, yang dibuat menerusi firma guaman Valen, Oh & Partners, kononnya berlaku ‘kebocoran gambar penggeledahan di media sosial’, Datuk Seri Amar memberi jaminan tindakan akan diambil bagi mengelakkannya dari berlaku.

“Saya telah mengarahkan pegawai kami untuk tidak membawa telefon bimbit sewaktu melakukan siasatan, kecuali oleh Komander dan timbalannya dan telefon hanya untuk tujuan berkomunikasi sahaja.

“Gambar dan rakaman video di lokasi juga hanya boleh diambil oleh jurugambar rasmi," kata beliau lagi.

Polis juga memohon pihak-pihak yang mempunyai maklumat berhubung kebocoran gambar-gambar terbabit untuk tampil membantu siasatan dan sama ada ia datang dari pihak polis atau sebaliknya, kerana “ada terdapat anggota keluarga dan rakan yang berada di situ sewaktu penggeledahan.”

Astro AWANI melaporkan Datuk Seri Amar menjamin bahawa JSJK sentiasa mensasarkan kecemerlangan dan profesionalisme dalam siasatan mereka, sebarang tingkah laku yang melanggar arahan dan tidak profesional akan diambil tindakan yang tegas.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan