Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Ireland sertai siasatan 3 bungkusan bom di hab pengangkutan London

Jabatan polis Ireland menyatakan pada Selasa (5 Mac) bahawa ia sedang membantu polis antipengganasan Britain dalam siasatannya berhubung dalang yang mengirimkan bungkusan-bungkusan, yang mengandungi tiga butir bom kecil, ke dua lapangan terbang dan sebuah stesen kereta api utama di London.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Ireland sertai siasatan 3 bungkusan bom di hab pengangkutan London

Tiga bungkusan mengandungi bom dikirim ke dua lapangan terbang dan sebuah stesen kereta api utama di London. (Gambar: John Stillwell/PA menerusi AP)

Diterbitkan : 06 Mar 2019 07:21AM Dikemas Kini : 06 Mar 2019 07:25AM

LONDON: Jabatan polis Ireland menyatakan pada Selasa (5 Mac) bahawa ia sedang membantu polis antipengganasan Britain dalam siasatannya berhubung dalang yang mengirimkan bungkusan-bungkusan, yang mengandungi tiga butir bom kecil, ke dua lapangan terbang dan sebuah stesen kereta api utama di London.

Salah satu bom mencetuskan kebakaran kecil di sebuah bangunan pejabat di Lapangan Terbang Heathrow. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan akibat kesemua tiga bom tersebut.

Ketiga-tiga bungkusan itu dikirimkan dari Ireland, menurut sumber pemerintah Eropah. Jabatan polis Ireland mengesahkan bahawa ia sedang membantu polis Britain menyiasat insiden tersebut.

Polis antipengganasan pertama kali menerima aduan mengenai barangan yang mencurigakan itu di Lapangan Terbang Heathrow pada sekitar 9.55 pagi (waktu tempatan), selepas seorang kakitangan membuka bungkusan yang mencetuskan kebakaran.

Bungkusan serupa turut dikenal pasti di sebuah bilik surat yang terletak di stesen kereta api Waterloo - iaitu stesen kereta api paling sibuk di London.

Bungkusan ketiga pula dijumpai di dalam sebuah pejabat di Lapangan Terbang London City, yang terletak di bahagian timur London.

Tiada penerbangan yang terjejas akibat insiden berkenaan. Namun, laluan kereta api yang menghubungkan London City dengan bahagian tengah London digantung buat sementara waktu.

Britain kini diletakkan di tahap berwaspada kedua paling tinggi terhadap ancaman pengganasan, dengan jabatan keselamatan negara itu menyatakan terdapat kemungkinan besar satu serangan akan berlaku.

Pada 2017, sekitar 36 orang terbunuh akibat lima serangan yang dilancarkan di London dan Manchester.

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan