Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Indonesia mengaku guna ular takutkan suspek jenayah dalam soal siasat

Polis Indonesia mengakui para pegawainya menakut-nakutkan seorang lelaki Papua dengan seekor ular selepas satu video menunjukkan seorang lelaki menjerit-jerit ketakutan sambil ditertawakan penyiasatnya, tersebar luas di media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Indonesia mengaku guna ular takutkan suspek jenayah dalam soal siasat

Petikan gambar daripada video yang tular di media sosial.

Diterbitkan : 12 Feb 2019 11:57AM Dikemas Kini : 12 Feb 2019 12:01PM

JAKARTA: Polis Indonesia mengakui para pegawainya menakut-nakutkan seorang lelaki Papua dengan seekor ular selepas satu video menunjukkan seorang lelaki menjerit-jerit ketakutan sambil ditertawakan penyiasatnya, tersebar luas di media sosial.

Polis Papua di timur Indonesia memohon maaf dan menjelaskan bahawa ular tersebut tidak berbisa dan mereka tidak memukul lelaki berkenaan yang disyaki mencuri.

Peguam hak asasi manusia Veronica Koman berkata bahawa cara penyiasatan itu adalah satu penderaan dan melanggar prosedur polis serta beberapa undang-undang. Cik Veronica menambah ia adalah kes terbaru daripada beberapa laporan yang sudah dibuat sebelum ini mengenai polis dan tentera tempatan yang menggunakan ular untuk menakut-nakutkan para tahanan Papua. Beliau menyifatkan tindakan seperti itu sebagai satu bentuk perkauman terhadap orang asli Papua.

Polis mengesahkan insiden melibatkan suspek yang dipercayai mencuri itu, berlaku baru-baru ini dalam satu operasi anti jenayah di daerah Jayawijaya.

Penyebaran video itu memaksa polis mengeluarkan kenyataan meminta maaf - sesuatu yang jarang berlaku. Cik Veronica bagaimanapun mengkritik tindakan polis yang cuba untuk mempertahankan dan menjelaskan tindakan mereka.

Video yang tular menunjukkan seekor ular berwarna coklat gelap, yang panjangnya sekurang-kurangnya dua meter, dililitkan di leher dan pinggang suspek. Seorang pegawai pula memegang bahagian kepala ular lalu membawanya dekat kepada muka suspek menyebabkan beliau semakin takut.

Para pegawai kedengaran bertanya kepada suspek itu berapa kali dia sudah mencuri telefon bimbit.

Ketua polis Jayawijaya, Tonny Ananda Swadaya berkata bahawa para pegawainya sudah dikenakan tindakan disiplin. Mereka diberikan latihan etika dan dipindahkan ke tempat lain.  

Sumber : AP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan