Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis dikerahkan ke kuil Sri Maha Mariamman selepas kematian anggota bomba

Polis Malaysia dikerahkan ke Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Selangor pada Selasa (18 Dis), di tengah-tengah kebimbangan tentang ketegangan kaum dan agama menyusuli kematian anggota bomba yang cedera parah dalam rusuhan pada bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Dec 2018 03:30PM Dikemas Kini : 19 Dec 2018 12:31AM

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia dikerahkan ke Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Selangor pada Selasa (18 Dis), di tengah-tengah kebimbangan tentang ketegangan kaum dan agama menyusuli kematian anggota bomba yang cedera parah dalam rusuhan pada bulan lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Polis Abdul Rashid Wahab berkata hampir 400 pegawai polis bersiap siaga di kawasan kuil serta di pejabat pemaju berdekatan untuk menjaga ketenteraman awam.

"Kami meletakkan keutamaan pada (kawasan) kuil, untuk menjaga kawasan itu sedang kami memantau keadaan," kata Encik Rashid kepada The Malaysian Insight.

"Kami juga sudah meningkatkan jumlah pegawai polis yang dikerahkan dan bersedia untuk menjaga ketenteraman awam."

Mereka yang dikerahkan termasuk pasukan polis berseragam, mata-mata dan Pasukan Simpanan Persekutuan.

Jenazah Muhammad Adib diterbangkan ke kampung halamannya di Kedah hari ini (18 Dis). Sekitar 1,000 orang dilaporkan menghadiri upacara pengebumiannya.

Kerajaan negeri Kedah akan menghulurkan bantuan bagi perbelanjaan pengebumian, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Kedah Dr Ismail Salleh.

"Persiapan bagi upacara pengebumian semuanya dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat. Kerajaan negeri akan mengenal pasti keperluan lain," katanya kepada pihak media semasa ditemui di rumah Allahyarham Muhammad Adib.  

Sumber : CNA/BERNAMA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan