Images
  • shadow handcuff crime
    (Gambar hiasan: Mediacorp)

Polis berkas lelaki disyaki cuba membakar 2 masjid

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran permaidani di dua buah masjid dekat daerah Pendang pada Isnin (12 Ogos).

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Arriz Sham Hamezah, berkata lelaki itu ditahan pada kira-kira 12.00 tengah hari di Alor Setar, Kedah, tujuh jam selepas kejadian tersebut berlaku.

Suspek ditahan selepas dipercayai membakar permaidani di ruang solat Masjid Kampung Rambai dan Masjid Pendang pada sekitar jam 5.00 pagi.

DSP Arriz Sham berkata kejadian hanya disedari Imam Masjid Kampung Rambai, Ismail Yahya,33 tahun, pada kira-kira jam 5.30 pagi sebelum beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

"Pengadu kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu memadam kebakaran," ujarnya.

Selain itu, DSP Arriz Sham berkata pihaknya turut menerima laporan daripada jemaah Masjid Pendang yang memaklumkan melihat permaidani di pintu tepi masjid terbakar pada jam 5.15 pagi dan menghubungi Bomba untuk memadamkan kebakaran.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kebakaran di kedua-dua Masjid Pendang dan Kampung Rambai terlebih dahulu dipadamkan oleh ahli kariah masjid sebelum pihak Bomba tiba di tempat kejadian.

"Kita dapati terdapat kesan terbakar pada permaidani di pintu hadapan Masjid Kampung Rambai dan kesan terbakar pada permaidani di pintu tepi Masjid Pendang," terang DSP Arriz Sham.

Menurut beliau lagi, pihaknya sukar mengenal pasti pelaku kerana kamera litar tertutup (CCTV) di Masjid Pendang tidak berfungsi manakala di Masjid Kampung Rambai pula tiada CCTV.

DSP Arriz Sham berkata terdapat juga seorang saksi yang menyedari dua lelaki menaiki motosikal memasuki persekitaran masjid namun tidak dapat mengecam individu-individu berkenaan.

Beliau menambah anggota forensik turut dimaklumkan untuk menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.

- BERNAMA/FZ/fz

Top