Images
  • msia police car
    Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Polis ambil keterangan pengetua didakwa terlibat aktiviti pengantunan seksual

JOHOR BAHRU: Polis pada Ahad mengambil keterangan tiga individu termasuk pengetua yang didakwa terlibat dalam aktiviti "pengantunan seksual" melibatkan pelajar sekolah di negeri tersebut.

Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din berkata setakat malam tadi, sebanyak tiga rakaman percakapan sudah direkodkan melibatkan pengetua terbabit serta dua saksi.

"Siasatan akan diteruskan dengan merakam percakapan beberapa saksi lain dan bahan bukti akan dihantar ke Makmal Forensik untuk dianalisis," katanya ketika dihubungi Bernama.

Encik Mohd Kamarudin berkata, satu laporan polis juga sudah dibuat pada Selasa lalu (9 Jan) dan setakat ini, pihaknya menerima satu laporan melibatkan pengetua berkenaan.

Kes itu disiasat mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Encik Mohd Kamarudin berkata demikian ketika ditanya sama ada aduan polis sudah dibuat ke atas pengetua sekolah menengah itu dan diambil keterangannya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dilaporkan berkata pengetua berkenaan sudah "dikeluarkan" daripada sekolah berkenaan dan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah sementara siasatan dijalankan oleh pihak kementerian.

Katanya, tindakan itu bertujuan untuk memastikan suspek tidak mengganggu mangsa atau pelajar ketika siasatan sedang dijalankan.

Empat hari lalu, tular dalam media sosial mengenai dakwaan seorang pengetua sekolah menengah yang mendapat anugerah pengetua cemerlang, menghantar mesej-mesej berunsur lucah kepada pelajar sekolah, sehingga mewujudkan kebimbangan dalam kalangan netizen.

- BERNAMA/NA/na

Top