Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Afghanistan kembali bekerja bersama Taliban di lapangan terbang

Polis Afghanistan di lapangan terbang Kabul kembali bekerja di pusat pemeriksaan bersama pasukan keselamatan Taliban buat pertama kalinya sejak kumpulan itu kembali berkuasa, kata pegawai pada Ahad (12 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Afghanistan kembali bekerja bersama Taliban di lapangan terbang

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 12 Sep 2021 07:48PM Dikemas Kini : 12 Sep 2021 07:50PM

KABUL: Polis Afghanistan di lapangan terbang Kabul kembali bekerja di pusat pemeriksaan bersama pasukan keselamatan Taliban buat pertama kalinya sejak kumpulan itu kembali berkuasa, kata pegawai pada Ahad (12 Sep).

Ketika Taliban menawan Kabul bulan lalu dan menggulingkan pemerintah, polis meninggalkan tugasan mereka, takut dengan apa yang akan dilakukan oleh kumpulan tersebut.

Namun, dua pegawai berkata mereka kembali bekerja pada Sabtu selepas menerima panggilan dari panglima Taliban.

Hari ini, seorang wartawan AFP di lapangan terbang melihat anggota polis sempadan dikerahkan di beberapa pusat pemeriksaan di luar bangunan utama lapangan terbang, termasuk terminal penerbangan domestik.

"Saya kembali bekerja semalam, lebih dua minggu selepas dihantar pulang," kata salah seorang anggota pasukan polis kepada AFP, dengan syarat namanya tidak didedahkan.

"Saya menerima panggilan daripada seorang panglima kanan Taliban yang meminta saya kembali bekerja," kata seorang lagi pegawai.

"Saya sangat gembira dapat berkhidmat semula.

Taliban sebelum ini menyatakan mereka telah memberikan pengampunan umum kepada semua orang yang bekerja untuk bekas pemerintah - termasuk tentera, polis dan cabang keselamatan lain.

Para pegawai berkata mereka mahu menyatukan pasukan lawan, tetapi belum menjelaskan bagaimana ini akan dilakukan- atau bagaimana mereka akan mengekalkan pasukan keselamatan yang terdiri daripada kira-kira 600,000 orang.

Lapangan terbang Kabul mengalami kerosakan teruk semasa pemindahan lebih 120,000 orang yang bertukar menjadi huru-hara selepas pengunduran pasukan Amerika Syarikat pada 30 Ogos.

Taliban, yang mengambil alih Kabul selepas mengalahkan pasukan pemerintah pada 15 Ogos, bergelut untuk menjadikan lapangan terbang di ibu kota itu kembali beroperasi dengan bantuan teknikal Qatar.

Amiriah Arab Bersatu telah menyediakan jambatan udara untuk menyampaikan bantuan ke Afghanistan, dengan pesawat membawa ratusan tan bekalan perubatan dan makanan.

Seorang pekerja lapangan terbang yang mengendalikan khidmat keselamatan bagi sebuah syarikat swasta mengesahkan bahawa polis sempadan telah dikerahkan di sekitar lapangan terbang sejak Sabtu.

Qatar Airways sudah mula mengendalikan penerbangan sewa keluar dari Kabul sejak beberapa hari lalu, yang membawa kebanyakan warga asing dan Afghanistan yang terlepas penerbangan keluar semasa pemindahan.

Sebuah syarikat penerbangan Afghanistan memulakan penerbangan domestik minggu lalu, sementara Pakistan International Airlines dijangka memulakan penerbangan dari Islamabad ke Kabul dalam beberapa hari akan datang. 

Sumber : AFP/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan