Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM New Zealand ikrar ubah undang-undang senjata api ekoran serangan Christchurch

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berikrar untuk memperketat undang-undang senjata negara itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
PM New Zealand ikrar ubah undang-undang senjata api ekoran serangan Christchurch

Seorang pegawai polis berdiri di luar Masjid al Noor di Christchurch, New Zealand. (Gambar: Tessa Burrows/AFP)

Diterbitkan : 16 Mar 2019 09:35AM Dikemas Kini : 16 Mar 2019 09:38AM

CHRISTCHURCH: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berikrar untuk memperketat undang-undang senjata negara itu. Ini selepas beliau mendedahkan hari ini (16 Mac) bahawa lelaki yang membunuh 49 orang di dua masjid di Christchurch membeli sejumlah senjata api yang digunakan dalam serangan tersebut secara sah.

Cik Ardern berkata lelaki bersenjata itu, seorang lelaki rakyat Australia yang berusia 28 tahun, memperolehi lesen senjata api 'Kategori A' pada November 2017. Sebulan kemudian, dia membeli lima senjata api yang digunakan dalam serangan-serangan pada Jumaat (15 Mac), yang dilancarkan di bandar Christchurch di selatan negara itu.

Ini termasuk dua senapang semi-automatik dan dua senapang patah serta senjata jenis lever-action, kata Cik Arden kepada para wartawan sebelum beliau berangkat ke Christchurch.

"Oleh kerana individu berkenaan memperolehi lesen senjata api dan juga jenis senjata api seumpama itu, saya fikir rakyat tentunya akan menggesa perubahan dilakukan dan saya komited untuk berbuat demikian," katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa sebelum ini, terdapat beberapa percubaan untuk merubah undang-undang itu pada 2005, 2012 dan 2017. Cik Ardern berkata langkah mengharamkan senjata api semi-automatik juga akan dipertimbangkan.

Sementara itu, Cik Ardern mengesahkan bahawa lelaki bersenjata dan dua rakan suspek lain yang diberkas tidak berada dalam senarai pemantauan mana-mana agensi risikan, meskipun dia menerbitkan satu manifesto online yang menyatakan rancangannya untuk melancarkan serangan terhadap orang-orang Muslim.

"Mereka tidak berada dalam senarai pemantauan di sini ataupun di Australia.

"Individu yang didakwa membunuh itu tidak menarik perhatian sebarang agensi risikan mahupun polis kerana ekstremisme," katanya.

Cik Ardern menambah: "Saya sudahpun meminta agensi-agensi kami supaya menilai sama ada terdapat sebarang kegiatan di media sosial atau lainnya yang sepatutnya mencetuskan respons. Usaha itu sedang dijalankan.

New Zealand memperketatkan undang-undang senjata apinya bagi menghadkan akses kepada senapang semi-automatik pada 1992, dua tahun selepas seorang lelaki yang mengalami masalah gangguan mental menembak mati 13 orang di bandar Aramoana.

Bagaimanapun, sesiapa yang berusia 16 tahun ke atas boleh mendaftarkan diri untuk mendapatkan lesen senjata api standard selepas menjalani kursus keselamatan, yang membolehkan mereka untuk membeli dan menggunakan senjata api tanpa diselia.

Polis di New Zealand tidak dilengkapi dengan senjata api, dan hanya bergantung kepada unit pasukan khas. 

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan