Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Muhyiddin yakin masih pegang sokongan majoriti; usul undi percaya akan dibentang di Parlimen

Encik Muhyiddin Yassin hari ini (4 Ogos) menegaskan bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Muhyiddin yakin masih pegang sokongan majoriti; usul undi percaya akan dibentang di Parlimen

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 04 Aug 2021 01:43PM Dikemas Kini : 04 Aug 2021 01:49PM

KUALA LUMPUR: Encik Muhyiddin Yassin hari ini (4 Ogos) menegaskan bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Beliau berkata perkara berkenaan sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis menghadap di Istana Negara, pagi ini.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya menerusi Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Encik Muhyiddin berkata beliau juga sedar bahawa kedudukannya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan.

Sehubungan itu, beliau sudah memaklumkan Sultan Abdullah bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.

“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.

PM Muhyiddin juga bersyukur kerana kesemua cadangan yang dikemukakan beliau sudah mendapat perkenan Sultan Abdullah.

Beliau berkata jemaah menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.

Terdahulu, pada permulaan Perutusan Khas itu, PM Muhyiddin memohon maaf kepada rakyat di atas kemelut politik yang melanda di saat negara sedang berhadapan dengan cabaran besar menangani pandemik COVID-19.

Disebabkan itu, beliau terpaksa tampil menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan