Images
  • muhyiddin aku janji
    Para pemimpin Gabungan Rakyat Sabah mendedahkan manifesto bagi pilihan raya negeri Sabah pada 16 Sep 2020. (Gambar: Bernama) 

PM Muhyiddin lancar manifesto 'Aku Janji' bagi PRN Sabah

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin hari ini (16 Sep) melancarkan Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk rakyat negeri itu bagi pilihan raya negeri tersebut.

Beliau berkata Aku Janji itu berpaksikan hak Sabah, kepimpinan berintegriti, Wawasan Kemakmuran Bersama dan perpaduan rakyat Sabah.

Menurut Muhyiddin, Aku Janji itu akan dilaksanakan sekiranya gabungan tersebut - yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) - diberi kepercayaan untuk menerajui kerajaan negeri semasa pilihan raya pada 26 September kelak. 

Beliau berkata Aku Janji perlu dilaksanakan demi pembangunan, kemajuan dan kehidupan lebih baik buat rakyat Sabah selain komitmen menyeluruh semua parti dalam gabungan tersebut untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat Negeri di Bawah Bayu itu. 

"Kenapa salinan Aku Janji diserah kepada saya selaku Perdana Menteri ialah kerana antara perkara tersenarai (dalam Aku Janji) ada hubung kait dengan urusan kerajaan persekutuan, sebahagian yang lain urusan kerajaan negeri...(Aku Janji ini) tawaran baru jauh lebih baik daripada Warisan untuk rakyat Sabah. 

"Ini suatu yang harus kita lakukan disebabkan antara lain, Sabah miliki rakyat ramai yang sebahagian besarnya perlukan pembangunan dan kemajuan.

“Rakyat Sabah seperti negeri lain masih perlukan pembelaan dan sokongan pelbagai peringkat kerajaan di negeri dan persekutuan," kata Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN, ketika melancarkan Aku Janji GRS di sebuah hotel di Kota Kinabalu hari ini. 

Turut hadir ialah Setiausaha Agung BN Annuar Musa, Timbalan Presiden PBS Radin Maleh, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee, Presiden STAR Dr Jeffrey Kitingan, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dan Pengerusi PN Sabah Hajiji Noor.

Muhyiddin berkata Aku Janji merupakan satu komitmen menyeluruh daripada parti dalam gabungan GRS bagi mengangkat hidup rakyat ke tahap lebih tinggi terutama dalam menghadapi situasi sukar yang dibawa pandemik COVID-19. 

Beliau menambah COVID-19 membawa bencana yang begitu besar buat dunia dengan Sabah tidak terkecuali dan kesannya, rakyat negeri itu sudah menjadi miskin akibat kelembapan sektor ekonomi justeru satu komitmen besar diperlukan bagi mengatasi masalah itu. 

"Komitmen kita bukan biasa, ini sebuah komitmen luar biasa daripada kita bagi membantu rakyat menghadapi situasi sukar yang tidak pernah dihadapi (rakyat). 

"Bila semua parti ini mendukung perjuangan sama, percayalah kepada kami yang akan membentuk sebuah kerajaan yang prihatin buat rakyat Sabah. Kami bukan kerajaan lalu, janji tidak ditunai, kerajaan kawan saya (kerajaan negeri Sabah) bantuan COVID-19 sampai hari ini tidak sampai," ujarnya.

4 PAKSI 'AKU JANJI'

Sementara itu, empat paksi yang terkandung dalam Aku Janji adalah Hak Sabah yang mengariskan tiga perkara termasuk memelihara dan terus memperjuangkan hak-hak negeri Sabah berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Dua perkara lain dalam paksi pertama berkenaan adalah membentuk Jawatankuasa khas Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai Hak Sabah serta menubuhkan Majlis Petroleum Sabah dan Dana PetroSabah bagi memelihara kepentingan generasi akan datang. 

Paksi kedua pula adalah kepimpinan yang bersih, berintergriti, cekap, amanah dan mendahulukan rakyat Sabah serta membina keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam Sabah. 

Teras ketiga adalah memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 sebagai tunjang yang menggariskan Sabah diberikan perhatian dalam usaha mengecilkan jurang pembangunan antara wilayah serta menjana ekonomi tinggi dengan mengambil kira Revolusi Industri 4.0. 

Paksi yang keempat pula adalah perpaduan rakyat Sabah yang menggariskan tiga perkara termasuk memastikan kebebasan beragama, dasar perlembagaan negara dipertahankan dan memupuk semangat integrasi nasional dengan berpandukan kepada Rukun Negara. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top