Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Malaysia Muhyiddin Yassin tangguh lawatan rasmi ke Singapura

Lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia Muhyidin Yassin ke Singapura yang pada mulanya dijadualkan esok (3 Mei), kini ditangguhkan ke satu tarikh lain tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Malaysia Muhyiddin Yassin tangguh lawatan rasmi ke Singapura

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 02 May 2021 04:41PM Dikemas Kini : 02 May 2021 04:43PM

SINGAPURA: Lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia Muhyidin Yassin ke Singapura yang pada mulanya dijadualkan esok (3 Mei), kini ditangguhkan ke satu tarikh lain tahun ini.

Demikian menurut Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein.

“Ini disebabkan tumpuan semasa Perdana Menteri ketika ini adalah terhadap jumlah jangkitan COVID-19 yang meningkat baru-baru ini,” kata Encik Hishammuddin dalam satu kenyataan media.

Encik Hishammuddin yang sedang dalam rangka lawatan kerja dua hari di Singapura berkata Encik Muhyiddin dijadualkan bertemu dengan rakan sejawatnya dari Singapura Encik Lee Hsien Loong, untuk berbincang dan bermuafakat dalam isu berkaitan perjalanan merentas sempadan secara beransur, dan untuk memudahkan perjalanan rakyat antara negara masing-masing.

Bagaimanapun menurutnya keadaan semasa COVID-19 tidak menyediakan persekitaran yang selesa bagi kedua-dua perdana menteri untuk berbincang dan mencapai kata sepakat dalam perkara yang “kita tahu rakyat di kedua-dua negara Malaysia dan Singapura sudah lama dinantikan”.

“Rundingan ini, yang sememangnya sedang diusahakan, memerlukan kerja keras pelbagai agensi dan kementerian.
 
"Namun disebabkan keadaan yang tidak menentu, dengan sebarang kemungkinan boleh berubah pantas pada bila-bila masa, ia menimbulkan persekitaran yang amat mencabar bagi kedua-dua pihak untuk tampil dengan penyelesaian yang konkrit dan selamat berhubung perjalanan rentas sempadan bagi rakyat kedua-dua negara. Kesihatan Awam perlu sentiasa menjadi keutamaan kita, itu yang membawa kepada perbincangan hari ini,” menurutnya.

Merujuk kepada lawatannya, Encik Hishammuddin berkara walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran di tengah pandemik, “kita berjaya mengadakan pertukaran lawatan, yang menjadi bukti kepada hubungan kukuh antara kedua-dua negara, semangat tinggi dan ikatan setiakawan antara Malaysia dan Singapura.

Encik Hishammuddin juga dijadualkan mengunjungi Perdana Menteri Lee Hsien Loong, serta Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Singapura Teo Chee Hean semasa lawatannya.

"Sebagai jiran yang penting dan paling dekat, dengan hubungan sejarah antara rakyat dua negara yang yang cukup rapat, kedua-dua negara kita akan terus bekerjasama dalam pelbagai bidang, terutama dalam era pasca pandemik," kata Encik Hishammuddin.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan