Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM M'sia Muhyiddin Yassin akan lancar kempen COVID-19 pada Sabtu

Bagi menyemarakkan amalan kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat demi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini, Kempen Pembudayaan Norma Baharu akan dilancarkan di peringkat kebangsaan, di Johor, Sabtu ini (8 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
PM M'sia Muhyiddin Yassin akan lancar kempen COVID-19 pada Sabtu

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 07 Aug 2020 02:53PM Dikemas Kini : 07 Aug 2020 02:56PM

KUALA LUMPUR: Bagi menyemarakkan amalan kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat demi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini, Kempen Pembudayaan Norma Baharu akan dilancarkan di peringkat kebangsaan, di Johor, Sabtu ini (8 Ogos).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata kempen yang akan berlangsung sehingga Disember itu akan dilancarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertempat di Kompleks Sukan Pagoh, Johor.

"Ini bukan soal kepatuhan kepada undang-undang dan peraturan tetapi lebih kepada penghayatan untuk kebaikan bersama, keluarga, jemaah dan masyarakat.

"Petugas barisan hadapan telah berjuang sehabis baik, kini giliran kita semua untuk membantu mereka… kita saling menjaga sesama kita," katanya dalam satu sidang media di sini.

Katanya, sempena majis pelancaran itu juga, Perdana Menteri akan melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti yang diterbitkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Encik Saifuddin berkata, kempen yang menyasarkan penyebaran maklumat dari KKM kepada segenap lapisan masyarakat itu akan turut melibatkan penggunaan pelbagai platform seperti media massa, media sosial, papan iklan, jerayawara, program keagamaan, penerbitan poster dan gegantung.

Beliau berkata, rakyat harus bersama-sama memainkan peranan melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID-19 dan memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak berkenaan.

Katanya, meskipun Malaysia merupakan antara negara terbaik mengurus penularan wabak berkenaan, virus COVID-19 masih wujud dan jumlah kes jangkitan boleh bertambah pada bila-bila masa, sekiranya orang ramai tidak membudayakan norma baharu.

Ini kerana katanya, masyarakat didapati mula alpa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan situasi ini contohnya dapat dilihat semasa jemaah di masjid yang pada awalnya mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan mengamalkan jarak fizikal, namun selepas selesai solat, mereka tidak lagi menghayati SOP yang ditetapkan dengan berasak-asak keluar dari masjid.

Mengulas lanjut mengenai kempen itu, Encik Saifuddin turut meminta agensi terlibat dan pemimpin komuniti untuk menyalurkan maklumat lebih kreatif supaya mesej yang disampaikan benar-benar memberi kesan kepada masyarakat.

"Kita tidak seharusnya menekakan kepada hanya mesej mengamalkan penjarakan fizikal meskipun ia aspek yang amat penting… tetapi saya berpendapat, kita harus lebih kreatif dan mengambil inisiatif (dalam mendidik masyarakat mengenai bahaya COVID-19) melalui idea yang bernas,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Saifuddin memaklumkan pemenang pertandingan mencipta logo dan slogan kempen kesedaran COVID-19 anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang berlangsung pada 1 hingga 10 Julai lalu, akan diumumkan semasa pelancaran kempen berkenaan di Johor.

Beliau berkata seramai 1,137 peserta daripada usia 13 hingga 64 tahun menyertai pertandingan itu dengan 2,150 penyertaan diterima.

Johan pertandingan akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 (S$1,600); tempat kedua RM3,000 (S$980); dan ketiga RM1,000 (S$330), selain hadiah bagi penyertaan terbanyak.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan