Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Lee: ASEAN ibarat 'bot penyelamat' bagi negara-negara Asia Tenggara

Dunia yang lebih stabil untuk didiami, Asia Tenggara yang lebih aman bagi mengendalikan operasi dan rantau lebih makmur untuk menjalankan usaha mengembangkan ekonomi. Itulah harapan untuk Singapura yang diluahkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong di bawah ASEAN yang dipimpin oleh negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Nov 2017 09:56AM Dikemas Kini : 15 Nov 2017 09:30PM

MANILA: Dunia yang lebih stabil untuk didiami, Asia Tenggara yang lebih aman bagi mengendalikan operasi dan rantau lebih makmur untuk menjalankan usaha mengembangkan ekonomi. Itulah harapan untuk Singapura yang diluahkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong di bawah ASEAN yang dipimpin oleh negara ini.

Bercakap kepada media Singapura pada hari terakhir Sidang Puncak ASEAN ke-31 semalam (14 Nov), beliau berkata rakyat Singapura sepatutnya bersikap positif sebagai pengerusi ASEAN. Sekiranya perkumpulan serantau ini berkesan, ia akan membawa kepada "dunia yang lebih stabil untuk didiami" dan rantau yang lebih selamat dan lebih makmur, kata PM Lee. Singapura akan mengambil alih peranan sebagai pengerusi ASEAN pada tahun depan.

"ASEAN ibarat bot penyelamat untuk kesemua 10 negara di Asia Tenggara, untuk bersatu, bekerjasama, bersuara di pentas dunia, untuk berdikari apabila menangani isu-isu kita sendiri, dan untuk bekerjasama demi mempertingkat kehidupan orang-orang di Asia Tenggara," kata PM Lee.

PM Lee secara rasmi mengumumkan tema-tema di bawah kepimpinan Singapura - ketahanan dan inovasi - dalam ucapannya di majlis bagi menandakan berakhirnya sidang puncak itu. Menyentuh tentang mengapa tema ini dipilih, PM Lee berkata tema-tema tersebut dipilih setelah mengambil kira tentang bagaimana Singapura dapat menyumbang sebagai pengerusi.

Ketahanan diperlukan untuk menangani ancaman pengganas - ancaman keselamatan siber dan ancaman lain yang tidak lagi bersifat tradisional, katanya.

"Ini adalah isu-isu yang dihadapi kita semua dan jika kita boleh menanganinya, kita boleh menjadikan ASEAN sebagai sebuah pertubuhan yang lebih berkesan dan berharga," kata PM Lee. Inovasi dipilih kerana ia adalah salah satu cara semua anggota ASEAN dapat mencapai kemajuan secara bersama, katanya, sambil menambah sebahagian besarnya berkaitan dengan ekonomi digital.

Walaupun Singapura mempunyai inisiatif 'Negara Bijak', iaitu usaha merubah ekonomi melalui teknologi, negara lain juga mempunyai projek-projek pemula mereka sendiri, kata PM Lee.

"Jika kita bersatu di bawah tema inovasi, dan bandar bijak, misalnya, saya fikir kita akan mempunyai sesuatu yang berharga untuk dilakukan bersama. Kita juga boleh mendapatkan kesemua 10 negara untuk mengambil bahagian melalui pelbagai cara pada tahap-tahap yang berbeza. Semua anggota boleh memainkan peranan dan meraih manfaat," kata PM Lee.

HUBUNGAN ASEAN DENGAN AS, CHINA

Apabila ditanya bagaimana Singapura, sebagai pengerusi ASEAN pada tahun depan, boleh mencegah anggota-anggotanya daripada berpihak-pihak antara Amerika Syarikat dengan China sekiranya ada pertikaian, PM Lee berkata: "Anda tidak boleh menghalang anggota lain daripada melakukan sesuatu."

Apa yang boleh dilakukan ASEAN sebagai sebuah kumpulan adalah untuk meningkatkan kerjasama dengan China dan AS secara serentak, katanya.

"Persidangan ini menunjukkan bahawa ASEAN menghargai hubungan dengan kedua-dua kuasa besar ini. Kedua-dua kuasa ini juga memberi perhatian kepada hubungan mereka dengan ASEAN," katanya.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Keqiang turut menghadiri sidang puncak tiga hari itu.

Dalam wawancara dengan CNBC Oktober lalu, PM Lee berkata Singapura tidak mahu memihak kepada AS atau China, sekiranya berlaku ketegangan antara kedua-dua kuasa besar itu. Semalam (14 Nov), beliau menegaskan bahawa walaupun AS dan China ingin memperkukuhkan kerjasama dengan ASEAN melalui cara "agak berbeza", perkumpulan serantau ini boleh bekerjasama dengan kedua-duanya.

Beliau menambah bahawa rundingan mengenai Kod Tata Laku bagi Laut China Selatan mungkin dikuatkuasakan awal tahun depan.

Semasa sidang puncak ASEAN-China, PM Lee berkata bahawa para anggota ASEAN sudah bersetuju untuk memulakan rundingan dengan China mengenai kod tata laku yang akan menjadi garis panduan mengenai bagaimana pertikaian di Laut China Selatan dihuraikan. China menuntut hak ke atas hampir seluruh Laut China Selatan. Pihak-pihak lain yang turut membuat tuntutan serupa adalah Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan.

Kod itu dijangka menetapkan peraturan dan garis panduan undang-undang yang bertujuan untuk mencegah konflik bersenjata dalam kalangan negara yang menuntut hak ke atas kawasan Laut China Selatan.

Secara berasingan beliau mengumumkan bahawa tahun depan, Perdana Menteri India Narendra Modi akan menghadiri Dialog Shangri-La, sidang puncak tahunan yang dihadiri para menteri dan pegawai-pegawai tentera.

PM Lee berharap Encik Modi juga dapat membuat lawatan rasmi dua hala ke Singapura.

"Kita akan mengadakan program untuk beliau yang akan mengeratkan hubungan kita dengan India, dan mungkin memperluaskan pengaruh kita di India," katanya. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan