Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM akan tentukan pelantikan awam utama buat masa ini: Dr Mahathir

Perdana Menteri Malaysia akan terus membuat keputusan pelantikan utama perkhidmatan awam, kata Dr Mahathir Mohamad pada Selasa (11 Jun). Ini meskipun kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum lalu sudah berikrar agar pelantikan sedemikian dibuat melalui sebuah jawatankuasa parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
PM akan tentukan pelantikan awam utama buat masa ini: Dr Mahathir

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 11 Jun 2019 08:26PM Dikemas Kini : 11 Jun 2019 08:29PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia akan terus membuat keputusan pelantikan utama perkhidmatan awam, kata Dr Mahathir Mohamad pada Selasa (11 Jun). Ini meskipun kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum lalu sudah berikrar agar pelantikan sedemikian dibuat melalui sebuah jawatankuasa parlimen.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai pelantikan jawatan utama perkhidmatan awam tidak dapat berfungsi secara sah kerana beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu digubal, tambah beliau.

Dr Mahathir berkata kerajaan berhasrat untuk mempunyai PSC tetapi kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga untuk menukar Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi buat masa sekarang kita ikut cara lama dalam membuat sesuatu pelantikan iaitu Perdana Menteri yang membuat keputusan.

“Pihak lain boleh memberikan pendapat tetapi Perdana Menteri yang membuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Putrajaya.

Semasa PRU14, PH berikrar bahawa pelantikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mesti diluluskan jawatankuasa parlimen.

Menurut manifesto perikatan itu, langkah ini akan mengurangkan keupayaan perdana menteri untuk campur tangan dalam pelantikan-pelantikan penting itu.

Lantaran itu, pelantikan mantan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Latheefa Beebi Koya untuk mengetuai SPRM yang Dr Mahathir akui adalah keputusan yang dibuatnya secara sendiri, menerima kritikan hebat.

Anggota kanan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang menerusi catatan blog pada Ahad menyifatkan langkah itu sebagai "betul dari segi perlembagaan, salah dari segi politik" kerana ia bercanggah dengan manifesto PH meskipun "sah dari sudut perlembagaan" di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Dr Mahathir juga ditanya sama ada pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan melalui PSC mengenai pelantikan utama perkhidmatan awam berikutan peletakan jawatan Encik Razali Ismail sebagai pengerusinya pada 16 April lepas.

Menjawab soalan sama ada pelantikan awam yang lain dibincangkan dengan Kabinet, Dr Mahathir berkata beliau tidak perlu merujuk kepada mereka.

"Saya boleh meminta pendapat daripada pelbagai orang dan kemudian saya membuat keputusan berdasarkan merit kes itu," katanya.

Sumber : CNA/BERNAMA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan