Images
  • mars planet
    (Gambar: NASA)

Planet Marikh berada pada jarak terdekat dengan Bumi dalam masa 15 tahun

WASHINGTON: Planet Marikh akan kelihatan lebih besar dan terang dalam beberapa minggu mendatang ini berbanding sepanjang 15 tahun lalu, menurut NASA.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, pada 31 Julai planet Marikh akan berada pada jarak terdekat orbitnya dengan Bumi, iaitu pada jarak sekitar 57.6 juta kilometer dari planet ini.

Ini jarak terdekat antara kedua-dua planet itu sejak 2003.

Apabila dua planet ini berhampiran, Marikh akan kelihatan lebih terang, dan lebih mudah dilihat melalui teropong mahupun mata kasar.

Marikh hanya akan berada pada jarak sebegini sekali dua dalam tempoh 15 hingga 17 tahun. Kali terakhir ia berlaku adalah pada 2003. Jaraknya dari bumi ketika itu adalah 55.7 juta kilometer, jarak terdekat dalam jangka masa 60,000 tahun.

Dean Regas, seorang pakar astronomi di Pusat Balai Cerap Cincinatti, memberitahu Mother Nature Network bahawa fenomena tahun ini hampir serupa pada tahun 2003.

"Mars boleh dilihat dengan mata kasar," kata Dean Regas.

"Malah, agak sukar untuk anda terlepas pandang. Ia kelihatan seperti lampu jingga di ufuk tenggara setelah matahari terbenam. Ia akan lebih terang daripada mana-mana bintang, lebih terang dari planet Musytari, hampir sama terang seperti Zuhrah. Dan anda akan melihatnya setiap malam buat beberapa bulan."

Namun, Marikh akan kelihatan semakin pudar jelang pertengahan Ogos kerana planet merah dan Bumi akan semakin berjauhan dalam orbit mereka mengelilingi matahari.

- BERNAMA/TQ/tq

Top