Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PKR kecam politik kotor, pertikai video seks dikatakan libatkan menteri Malaysia

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu (12 Jun) menolak politik kotor sedang para pemimpin parti itu mempertikaikan ketulenan satu video lucah yang dikatakan melibatkan seorang menteri Kabinet.

Anggaran Waktu Membaca:
PKR kecam politik kotor, pertikai video seks dikatakan libatkan menteri Malaysia

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Jun 2019 10:47PM Dikemas Kini : 12 Jun 2019 10:53PM

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu (12 Jun) menolak politik kotor sedang para pemimpin parti itu mempertikaikan ketulenan satu video lucah yang dikatakan melibatkan seorang menteri Kabinet.

Video yang menunjukkan dua lelaki melakukan kegiatan seks hangat dibincangkan sejak Selasa. Seorang individu pada Rabu tampil mengaku dirinya sebagai lelaki dalam video itu bersama seorang lelaki lain yang didakwanya sebagai menteri persekutuan dari PKR.

Dalam satu kenyataan, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata: "KEADILAN tegas dan konsisten menolak sebarang bentuk permainan politik kotor terutamanya apabila kerajaan baharu Pakatan Harapan telah dipilih oleh rakyat atas semangat agenda reformasi untuk membantu rakyat dan membangunkan negara."

Beliau menegaskan bahawa permainan politik sebegini tidak memanfaatkan masyarakat. PKR juga menyeru orang ramai untuk berhenti menyebarkan video itu.

"KEADILAN sebagai salah satu parti komponen Pakatan Harapan akan terus fokus membantu kerajaan Persekutuan merangka dasar-dasar dan program untuk rakyat," tambah Encik Saifuddin Nasution lagi, yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia.

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin pula menegaskan konspirasi politik untuk menjatuhkan kewibawaan individu perlu dihentikan serta merta.

Dalam kenyataanya, Cik Zuraida menzahirkan sokongan terhadap menteri Kabinet yang dituduh terlibat, sambil menyatakan keyakinan beliau terhadap kepercayaan, integriti dan perwatakan menteri itu.

Cik Zuraidah berkata keyakinan beliau terbit daripada hakikat bahawa pihak yang mengadu dalam skandal ini mempunyai latar belakang yang mencurigakan dan dikenali mempunyai hubungan baik dengan pihak pembangkang.

"Pada saat ini sedang rakyat dan kerajaan bersusah payah cuba memulihkan ekonomi negara dan memperbaiki taraf kehidupan, permainan politik kotor ini sangat menyinggung kita dan menghambat usaha membina semula Malaysia," katanya.

Cik Zuraidah, yang merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggesa pihak berkuasa untuk memulakan siasatan untuk membawa para pesalah ke muka keadilan.

"KONSPIRASI UNTUK MATIKAN KERJAYA POLITIK"

Beliau juga memberitahu akhbar Malay Mail bahawa beliau yakin video itu palsu dan muncul di tengah-tengah waktu Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengalihkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Saya percaya ini semua palsu dan merupakan konspirasi untuk membunuh kerjaya politik (menteri terbabit), sama seperti kes DSAI," tambahnya. DSAI merujuk kepada Encik Anwar, yang terbabit dalam skandal liwat yang beliau tegaskan bermotif politik.

Dalam satu kenyataan Facebook, anak Encik Anwar, Nurul Izzah Anwar, menyatakan rasa simpati terhadap mangsa politik kotor serta anggota keluarga mereka.

Beliau menekankan fitnah yang ditabur hanya bertujuan untuk menamatkan kerjaya politik dan merosakkan nama baik para pemimpin.

"Kita perlu bersatu mengecam kekejian ini dan jauhkan diri daripada menyebarkan kekotoran sedemikian.

"Mari tumpukan pada isu-isu yang benar-benar penting. Iaitu menjadikan Malaysia lebih baik," kata Anggota Parlimen Permatang Pauh itu.

KHAIRY TURUT KESAL POLITIK KOTOR

Di instagram pula, AP Rembau dari parti UMNO Khairy Jamaluddin menggesa orang ramai untuk "mengalihkan pandangan" dari berita-berita kotor yang melibatkan politik negara.

Mantan menteri belia dan sukan itu mengakui cabaran dalam kerjaya politik.

"Ada hari ia tidak bersih. Ada hari ia kotor. Hari ini ia benar-benar keji."

Malaysia sudah dihantui trauma fitnah masa lalu, tambahnya

"Adakah kita benar-benar ingin mendedahkan satu lagi generasi kepada tuduhan buruk yang hanya bertujuan merosakkan nama baik seseorang?" soalnya. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan