Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PKR beri Naib Presidennya Zuraida Kamaruddin 14 hari buat penjelasan

PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Naib Presidennya Zuraida Kamaruddin, berhubung dakwaan salah laku disiplin.

Anggaran Waktu Membaca:
PKR beri Naib Presidennya Zuraida Kamaruddin 14 hari buat penjelasan

(Gambar: Zuraida Kamaruddin/Facebook)

Diterbitkan : 18 Jan 2020 11:05PM Dikemas Kini : 18 Jan 2020 11:08PM

PETALING JAYA: PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Naib Presidennya Zuraida Kamaruddin, berhubung dakwaan salah laku disiplin.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengatakan bahawa surat itu dikeluarkan kepada Ahli Parlimen Ampang itu pada Jumaat (17 Jan).

"Bermula semalam, beliau ada 14 hari untuk beri penjelasan dan selepas itu barulah Lembaga Disiplin akan buat apa-apa tindakan selanjutnya, sama ada pendengaran atau digugurkan. Itu dalam tanggungjawab Lembaga Disiplin," katanya kepada wartawan selepas menghadiri mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini (18 Jan).

Turut hadir pada mesyuarat itu Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ditanya sama ada surat itu dikeluarkan atas sebab ucapan ataupun kehadiran Zuraida dalam mesyuarat-mesyuarat parti, Saifuddin Nasution bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut.

"Saya tak privy kepada itu sebab pengerusi Lembaga Disiplin hanya melaporkan perkara itu (di dalam mesyuarat hari ini) sebab itu dalam bidang kuasa beliau," katanya.

Selain itu, Saifuddin Nasution turut memaklumkan ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz, antara yang ditahan dalam serbuan 'pesta' dadah di sebuah kondominium pada Ahad lalu (12 Jan), digantung keahlian parti serta-merta sehingga kes itu selesai disiasat polis.

Beliau turut mengumumkan rombakan kecil keahlian Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR seperti dipersetujui mesyuarat hari ini, termasuk pelantikan beberapa ahli MPP baharu, menggantikan beberapa MPP yang dilantik sebelum ini yang digugurkan.

Ini termasuk Dr Lee Boon Chye menggantikan Lee Khai Loon dan Rodziah Ismail menggantikan Syed Ibrahim Syed Noh.

"Oleh kerana Lee Khai Loon bukan lagi MPP yang dilantik dan beliau juga ahli Lembaga Rayuan parti, dengan beliau digugurkan maka MPP umum pelantikan Jun Leow Ahli Parlimen Hulu Selangor menggantikan tempatnya (dalam Lembaga Rayuan parti)," katanya.

Menurutnya, jawatan Pengarah Strategik parti yang kini dipegang Datuk Mansor Othman diganti oleh Sim Tze Tzin, dengan jawatan Mansor sebagai ahli MPP kekal, disebabkan beliau dipilih dan bukannya dilantik.

"Rombakan kecil ini dianggap perkara biasa terutama selepas parti mengadakan kongres tahunan," katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan