Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pisau pemotong rumput terpelanting, pelajar cedera cerita pengalaman

“Saya dengar bunyi kuat macam roket, tiba-tiba kepala saya sakit dihentak sesuatu,” kongsi remaja itu, sambil menambah dia masih lagi trauma dengan kejadian tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Pisau pemotong rumput terpelanting, pelajar cedera cerita pengalaman

Mohd Farhan Reza Badrul Hesam yang cedera akibat terkena pisau pemotong rumput. (Gambar: The New Straits Times/TODAY)

Diterbitkan : 16 Feb 2018 01:36PM Dikemas Kini : 16 Feb 2018 01:44PM

GEMAS, NEGERI SEMBILAN: Malang tidak berbau apabila seorang pelajar perempuan maut manakala dua lagi pelajar lelaki cedera akibat terkena pisau mesin rumput dari sebuah traktor di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, di Negeri Sembilan.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 10.30 pagi Selasa (13 Feb), mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Nur Afini Roslan, 14 tahun.

"Nur Afini maut selepas kepalanya terkena pisau traktor mesin rumput yang terpelanting ketika pemandu traktor sedang memesin rumput di padang sekolah itu. Manakala dua yang cedera ialah Abdullah Hazlan, 14 tahun, pelajar Tingkatan Dua dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13 tahun, pelajar Tingkatan Satu,” menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Hamazah Ab Razak seperti yang dipetik Astro Awani.

Mohd Farhan yang ditemui wartawan menceritakan pengalamannya semasa insiden itu berlaku.

“Saya dengar bunyi kuat macam roket, tiba-tiba kepala saya sakit dihentak sesuatu,” kongsi remaja itu, sambil menambah dia masih lagi trauma dengan kejadian tersebut.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama Nur Afini dan rakannya yang cedera di telinga, Abdullah Hazlan serta kira-kira 120 pelajar lain sedang mengadakan raptai perbarisan Hari Sukan sekolah yang sepatutnya di adakan keesokan harinya (14 Feb).

Ujarnya, dia dan anggota kumpulannya sedang berehat di bahagian tepi padang terkejut dengan bunyi yang kuat sebelum bilah mesin pemotong rumput itu terbang ke arah mereka.

Dia terpaku dan panik apabila terkena hentakan pada bahagian belakang kepala sehingga menyebabkan kulit kepalanya koyak sepanjang kira-kira tiga sentimeter dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Pilah.

“Masa tu kami sedang dalam raptai perbarisan. Ustaz kata duduk rehat dulu, maka semua orang pun duduklah,” katanya seperti yang dipetik Astro Awani.

Seingat Mohd Farhan, terdapat pekerja dengan mesin pemotong rumput di padang tersebut, berdekatan garisan lumba lari.

Ketika itu, ada seorang kawannya yang mengatakan ada benda yang terpelanting ke arah kami dengan bunyi seperti roket.

Tanpa dia sempat melakukan apa-apa, ‘benda’ yang dikatakan itu terkena dua orang kawannya dan juga dirinya.

Saya pandang ke bawah dan kemudian pandang ke depan semula. Saya tengok sekeliling, dia (kawan) sudah terbaring. Lepas itu saya (mula) panik,” ceritanya.

Mohd Farhan berkata, meskipun masih trauma dengan apa yang berlaku, dia tetap ingin meneruskan sesi persekolahan dan menetap di asrama sekolah itu seperti biasa.

Bagaimanapun, dia masih berkira-kira untuk melakukan aktiviti di padang berkenaan, lapor Astro Awani.

Dalam pada itu Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menggesa agar siasatan ke atas kes tersebut disegerakan.

Beliau juga meminta kontraktor yang dilantik oleh pihak sekolah selepas ini lebih peka dan mematuhi aspek keselamatan sebelum melakukan kerja pembersihan, lapor Astro Awani.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan